Premium naik, perlindungan insurans perubatan kini jadi kegusaran

Iklan
Bank Negara Malaysia sebelum ini memaklumkan inflasi kos perubatan di Malaysia mencecah 15 peratus pada 2024, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kos tuntutan dan keperluan pelarasan premium. Foto hiasan

SHAH ALAM - Membayar premium insurans perubatan setiap bulan sepatutnya memberi ketenangan kepada pemegang polisi.

Bagaimanapun, isu peningkatan kos, tuntutan yang tidak diluluskan dan bayaran tambahan ketika mendapatkan rawatan kini menimbulkan persoalan mengenai nilai sebenar perlindungan yang diterima.

Iklan
Iklan

Sebuah tinjauan insurans dan kesihatan rakyat Malaysia oleh Zen Communications mendapati 34.6 peratus daripada 815 responden tidak lagi merasakan pelan insurans perubatan mereka berbaloi untuk diteruskan.

Ini kerana isu kenaikan premium dan kemampuan kewangan menjadi antara faktor utama yang mendorong mereka mempertimbangkan untuk membatalkan polisi.

Iklan

Hasil dapatan tinjauan itu turut menunjukkan tahap kepuasan semakin menurun apabila jumlah premium meningkat.

"Bagi pemegang polisi yang membayar kurang RM150 sebulan, 74 peratus menyatakan mereka berpuas hati dengan perlindungan diterima," jelas laporan tinjauan yang dikeluarkan pada Ogos lalu.

Iklan

Bagaimanapun, kadar kepuasan menurun kepada antara 33 hingga 37 peratus dalam kalangan mereka yang membayar premium melebihi RM300 sebulan, khususnya selepas berdepan masalah berkaitan tuntutan.

"Premium naik setiap tahun, tetapi perlindungan masih macam sama," kata seorang responden menurut laporan tinjauan berkenaan.

Dalam tinjauan sama, 64.7 peratus responden berkata mereka masih perlu mengeluarkan wang sendiri ketika membayar bil hospital terbaru, termasuk sebahagian yang terpaksa menanggung lebih 20 peratus daripada keseluruhan bil.

Lebih membimbangkan, 71 peratus responden berkata, mereka perlu membayar kos tambahan bagi ubat yang dipreskripsikan doktor kerana tidak dilindungi sepenuhnya polisi.

"Daripada jumlah itu, 284 responden berdepan masalah apabila ubat berjenama tidak dilindungi dan hanya ubat generik ditanggung, manakala 230 berkata tuntutan ubat ditolak selepas dikategorikan sebagai makanan tambahan.

"Seramai 225 responden pula berkata bekalan ubat yang diluluskan lebih pendek berbanding tempoh rawatan ditetapkan doktor,"jelas laporan tinjauan berkenaan.

Isu tuntutan turut menjadi kebimbangan apabila hampir 30 peratus responden berkata, mereka pernah mengalami tuntutan ditolak sama ada sebahagian atau sepenuhnya dalam tempoh dua tahun lalu.

Daripada kumpulan itu, 24 peratus berkata, alasan penolakan tuntutan tidak diterangkan dengan jelas.

Kadar kelulusan tuntutan juga menunjukkan perbezaan mengikut jumlah premium apabila polisi dengan premium antara RM300 hingga RM500 sebulan merekodkan kadar kelulusan 85.7 peratus, berbanding 81 peratus bagi polisi melebihi RM500.

"Bila hendak membuat tuntutan, baru tahu banyak perkara sebenarnya tidak dilindungi,” kata seorang lagi responden.

Dalam masa sama, perubahan panel hospital turut menimbulkan masalah apabila 31.7 peratus responden berkata mereka tidak lagi dapat mendapatkan rawatan daripada doktor biasa selepas hospital berkenaan dikeluarkan daripada panel syarikat insurans.

Sebanyak 28.3 peratus pula tidak mengetahui perkara itu boleh berlaku, manakala 31 peratus mengakui tidak pasti sama ada terma polisi mereka berubah dalam tempoh dua tahun lalu.

"Isu surat jaminan atau Guaranteed Letter (GL) turut mendapat perhatian apabila lebih separuh responden berkata mereka perlu menunggu sekurang-kurangnya tiga hari bekerja, manakala 23.1 peratus menunggu lebih lima hari," tambah laporan tinjauan itu lagi.

Dapatan tinjauan itu dikutip ketika industri insurans dan takaful berdepan tekanan peningkatan kos rawatan serta tuntutan perubatan.

Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini memaklumkan inflasi kos perubatan di Malaysia mencecah 15 peratus pada 2024, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kos tuntutan dan keperluan pelarasan premium.

Malah, BNM melaporkan kira-kira 340,000 polisi insurans dan takaful perubatan atau kesihatan (MHIT), bersamaan 5.2 peratus daripada polisi yang dinilai semula harganya, diserahkan pemegang polisi antara Januari 2024 hingga Jun 2025 susulan proses penetapan semula premium.

Bagi menangani tekanan itu, BNM memperkenalkan langkah interim yang antara lain menetapkan pelarasan premium akibat inflasi tuntutan perubatan bagi kebanyakan pemegang polisi diagihkan sekurang-kurangnya tiga tahun sehingga akhir 2026.

Kerajaan bersama Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kewangan dan BNM turut melaksanakan strategi RESET bagi menangani kos penjagaan kesihatan swasta, termasuk pembaharuan produk MHIT, ketelusan harga, pendigitalan kesihatan dan perubahan mekanisme pembayaran penyedia perkhidmatan kesihatan.

Pada masa sama, BNM sedang membangunkan pelan asas MHIT yang dijangka melalui projek perintis pada separuh kedua 2026 sebelum pelaksanaan nasional pada 2027, sebagai antara usaha menyediakan perlindungan lebih mampu milik dan mampan.

Keseluruhannya, perkembangan itu menunjukkan persoalan mengenai insurans perubatan bukan lagi sekadar berkisar kepada jumlah premium yang perlu dibayar.

Sebaliknya, ia turut melibatkan sejauh mana pemegang polisi memahami manfaat, pengecualian, had perlindungan, proses tuntutan dan kos yang masih perlu ditanggung sendiri.

Justeru, kemampuan mengekalkan polisi perlu bergerak seiring dengan kefahaman terhadap terma perlindungan supaya produk yang dibayar setiap bulan benar-benar dapat dimanfaatkan apabila diperlukan.