SHAH ALAM - Pelanggan yang berbelanja sekurang-kurangnya RM35 dalam satu resit menggunakan Visa di Eco-Shop berpeluang membawa pulang sebuah Proton X70 1.5TD Premium menerusi kempen ulang tahun ke-23 rangkaian kedai keperluan harian berkenaan.
Kempen Beli & Menang yang berlangsung dari 5 Oktober hingga 29 November 2026 menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM250,000, termasuk sebuah Proton X70 1.5TD Premium, tiga motosikal Honda RS150R dan 15 unit Samsung Galaxy Z Fold8.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Eco-Shop Malaysia Berhad, Jessica Ng berkata, kempen berkenaan dianjurkan sebagai penghargaan kepada pelanggan yang telah menyokong jenama itu sepanjang 23 tahun.
"Memandangkan kami telah berkembang, komitmen ini kekal sama kerana kami percaya nilai yang baik harus berada dalam capaian semua orang, tanpa mengira di mana mereka tinggal atau latar belakang mereka," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jessica memberitahu, bagi setiap pembelian yang memenuhi syarat dengan bayaran Visa, pelanggan menerima satu penyertaan ke dalam peraduan, manakala ahli Eco-Shop menikmati dua penyertaan bagi setiap pembelian yang layak.
"Pembelian sama turut melayakkan pelanggan menerima hadiah dengan pembelian yang tersedia di semua kedai Eco-Shop di seluruh negara sekiranya stok masih ada.
"Kami bersyukur kepada semua yang telah menjadi sebahagian daripada Eco-Shop sepanjang 23 tahun yang lalu," katanya.
Tambah beliau, pihaknya akan terus menjadi jenama yang boleh diharapkan rakyat Malaysia untuk mendapatkan barangan dengan nilai yang baik, selain memperluas khidmat kepada lebih banyak komuniti.