RIYADH - Ketika perhatian dunia tertumpu terhadap keberanian Kapten Smit Machchhar mengelakkan tragedi udara dan menyelamatkan 174 nyawa penumpang, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu turut tampil mengangkat juruterbang India itu sebagai 'wira sebenar' sebagai cubaan untuk memancing undi menjelang Pilihan Raya Umum pada 27 Oktober depan.
Pelbagai spekulasi kini timbul susulan insiden yang menimpa penerbangan Flydubai FZ1073 menuju Tel Aviv selepas Machchhar ditikam oleh pembantu juruterbang di dalam kokpit hingga cedera parah ketika pelaku cuba mengambil alih pesawat tersebut.
Netanyahu memberitahu masih terlalu awal untuk menentukan pihak yang bertanggungjawab di sebalik dakwaan cubaan menjatuhkan pesawat itu meskipun kenyataannya dilihat cuba mengaitkan insiden berkenaan dengan Iran.
Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Danny Danon pula menyifatkan insiden itu sebagai 'serangan pengganas' tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak.
Difahamkan, penerbangan dari Dubai ke Tel Aviv itu membawa lebih 170 penumpang kebanyakannya warga Israel.
Sementara itu, Flydubai memaklumkan kesemua penerbangan dari dan ke Israel akan digantung sementara sepanjang siasatan dijalankan selain menggesa semua pihak mengelakkan khabar angin tidak berasas.
Menurut saksi, beberapa penumpang bertindak berani menyerbu kokpit dan bergelut dengan suspek bagi mendapatkan semula kawalan pesawat ketika ia menjunam secara mendadak. Pesawat itu berada pada ketinggian 10,363 meter (m) dan menurun kira-kira 4,300m dalam tempoh kurang 30 saat.
Pesawat itu akhirnya berjaya dikawal semula sebelum melakukan pendaratan cemas di Arab Saudi. Machchhar kini sedang dirawat di sebuah hospital di Tabuk dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Penyerang telah ditahan oleh pihak berkuasa Arab Saudi dan sedang disoal siasat. Setakat ini motif serangan masih belum diketahui. - Agensi
Info
>Kapten Smit Machchhar, juruterbang warga India berasal dari Mumbai.
>Kerjaya: Mempunyai kira-kira 15 tahun pengalaman dalam bidang penerbangan dan hampir 9,750 jam penerbangan.
>Menyertai syarikat penerbangan itu pada 2022 dan mengendalikan pesawat Boeing 737. Sebelum itu, beliau berkhidmat selama 11 tahun dengan SpiceJet di India.
>Pada awalnya, beliau mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan tekstil dengan hasrat meneruskan perniagaan tekstil keluarganya. Namun, beliau beralih kepada bidang pengurusan sebelum mempunyai minat mendalam terhadap dunia penerbangan ketika berusia 19 tahun.