SUBANG JAYA – Operasi penguatkuasaan ke atas 17 premis penjualan rokok elektronik (vape) di sini merekodkan kompaun dan rampasan berjumlah RM73,000 pada Rabu.
Tindakan itu diambil serentak oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menerusi Operasi Berseadu bermula jam 2.30 petang.
Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa'ari berkata, nilai keseluruhan kompaun oleh tiga agensi terbabit ialah RM35,000, manakala direkodkan berjumlah RM38,000.
Menurutnya, sebanyak 17 premis telah diperiksa bagi memastikan pematuhan terhadap peruntukan perundangan yang berkuat kuasa.
"Hasil pemeriksaan, KPDN Selangor mengambil tiga tindakan kes di bawah Perenggan 6, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Rokok Elektronik) 2022 iaitu atas kegagalan mematuhi subperenggan 4(2)(b) berhubung peranti rokok elektronik atau alat ganti yang tidak ditandakan dengan tanda sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual.
"Selain itu, lima kompaun turut dikeluarkan di bawah Akta Timbang Sukat 1972 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, MBSJ pula mengeluarkan 14 kompaun di bawah kesalahan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBSJ serta Undang-Undang Kecil Iklan MBSJ.
Sementara itu, SSM merekodkan lima kompaun di bawah akta-akta yang dikuatkuasakan oleh SSM.
Tambahnya, dua notis di bawah Seksyen 18(1)(a) atas kesalahan gagal mempamerkan tanda amaran larangan merokok dikeluarkan KKM.
Kata beliau, operasi bersepadu ini dilaksanakan bagi memastikan premis yang menjalankan aktiviti penjualan rokok elektronik mematuhi perundangan yang berkaitan, termasuk aspek perdagangan, kesihatan, pendaftaran perniagaan dan pelesenan premis.
Tegasnya, langkah proaktif ini diambil bagi memastikan pematuhan undang-undang yang menyeluruh, sekali gus melindungi kepentingan pengguna serta memelihara kesejahteraan kesihatan awam di negara ini.
"KPDN mengingatkan semua peniaga yang menjalankan aktiviti penjualan rokok elektronik agar sentiasa mematuhi sepenuhnya keperluan perakuan dan penandaan peranti rokok elektronik yang ditetapkan di bawah perundangan berkaitan," ujarnya.