Agensi penerbangan EU beri amaran elak sebahagian ruang udara Arab Saudi

Iklan
EASA memaklumkan situasi keselamatan serantau kekal 'sangat bergolak' susulan konflik ketenteraan antara AS dan Iran, dengan aktiviti ketenteraan yang ketara menjejaskan ruang udara Arab Saudi. Foto: EASA

GENEVA - Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) pada Rabu memberi amaran kepada syarikat penerbangan supaya mengelak daripada terbang di sebahagian ruang udara Arab Saudi susulan peningkatan serangan peluru berpandu dan dron.

Dalam satu buletin maklumat, EASA memaklumkan situasi keselamatan serantau kekal 'sangat bergolak' susulan konflik ketenteraan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, dengan aktiviti ketenteraan yang ketara menjejaskan ruang udara Arab Saudi.

Iklan
Iklan

Anadolu Ajansi melaporkan agensi itu menyatakan kumpulan Houthi meningkatkan kekerapan dan skop geografi serangan terhadap sasaran maritim, tenaga dan infrastruktur Arab Saudi dengan ketara pada September, termasuk di Laut Merah dan Teluk Aden.

Menurut EASA, infrastruktur berkaitan ketenteraan dan penerbangan di seluruh Arab Saudi juga berulang kali menjadi sasaran peluru berpandu dan dron.

Iklan

Walaupun ruang udara di selatan dan barat daya Arab Saudi kekal terdedah khususnya disebabkan kedudukannya yang berhampiran dengan kawasan dikuasai Houthi di Yaman, serangan baru-baru ini menunjukkan keupayaan dan niat kumpulan itu untuk melancarkan serangan lebih jauh ke dalam negara berkenaan, menurut agensi itu.

EASA menyenaraikan Riyadh, Tabuk dan Yanbu antara kawasan yang terjejas.

Iklan

Agensi itu memberi amaran bahawa serangan peluru berpandu dan dron yang berulang, bersama-sama pengaktifan sistem pertahanan udara, meningkatkan risiko pesawat awam tersalah dikenal pasti sebagai ancaman, selain risiko akibat aktiviti pemintasan dan serpihan yang jatuh.

Agensi itu menasihatkan pengendali supaya mengelak daripada terbang pada sebarang altitud di kawasan yang ditetapkan dalam ruang udara Arab Saudi, khususnya kawasan yang terdedah kepada risiko lebih tinggi akibat aktiviti peluru berpandu dan dron.

Zon larangan itu ditetapkan berdasarkan titik navigasi penerbangan dalam Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) Jeddah, manakala pengendali digesa supaya berhati-hati ketika beroperasi di ruang udara Arab Saudi yang lain.

Amaran itu berkuat kuasa sehingga 16 Nov kecuali disemak lebih awal, menurut buletin berkenaan. - Bernama-Anadolu