Iran dakwa mampu lancar serangan peluru berpandu bertahun-tahun terhadap musuh

Iklan
Peluru berpandu Zolfaghar buatan Iran dipamerkan di Dataran Azadi, Tehran pada 2 Ogos 2026. Foto: AFP

TEHERAN – Iran mendakwa mempunyai keupayaan untuk melancarkan sebanyak mana peluru berpandu yang diperlukan bagi menghalang musuh dan memastikan setiap serangan terhadap negara itu menerima tindak balas.

Penasihat kepada Komander Pasukan Aeroangkasa Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Brigedier Jeneral Ali Balali berkata, kemampuan pertahanan Iran kini jauh berbeza berbanding ketika perang Iran-Iraq pada 1980-an.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pembangunan teknologi peluru berpandu merupakan proses rumit, namun sekatan yang dikenakan terhadap Iran tidak menghalang negara itu daripada memperkukuh kemampuan dalam bidang peluru berpandu dan dron.

Beliau berkata, semua peralatan yang dipamerkan dalam satu pameran berkaitan dibangunkan dan dihasilkan di dalam negara.

Iklan

“Kami memanfaatkan pengetahuan yang tersedia di seluruh dunia dan bertindak sedemikian rupa sehingga halangan serta sekatan yang dikenakan tidak dapat menghalang Republik Islam Iran daripada membina kekuatannya,” katanya.

Mengimbas perang Iran-Iraq, Balali berkata, Iran hanya mampu melancarkan 88 peluru berpandu sepanjang lapan tahun konflik kerana berdepan kekangan kewangan dan sumber.

Iklan

Menurutnya, keadaan itu memaksa Iran melancarkan peluru berpandu secara terhad bagi memastikan bekalan senjata dapat bertahan sehingga perang berakhir.

“Hari ini, kami tidak lagi berdepan masalah seperti itu,” katanya baru-baru.

Balali mendakwa kemampuan semasa membolehkan angkatan tentera Iran memberikan tindak balas lebih besar terhadap sebarang serangan.

“Dalam setiap operasi, angkatan tentera melancarkan sebanyak yang diperlukan, dengan kekuatan dan keazaman, supaya musuh memahami bahawa era ‘serang dan lari’ sudah berakhir,” katanya.

Beliau turut mendakwa dalam konflik terbaharu, pihak lawan melakukan serangan dalam jumlah terhad manakala Iran membalas pada skala beberapa kali ganda.

Malah, Balali mendakwa kadar pengeluaran serta pelancaran peluru berpandu negara itu berada pada tahap yang membolehkan Iran mengekalkan operasi pada kadar semasa selama beberapa tahun sekiranya konfrontasi berpanjangan.

Menurut beliau, penggunaan kemampuan dan persenjataan tentera Iran turut dilaksanakan berdasarkan perancangan pihak berkuasa negara itu.

Kenyataan tersebut dibuat ketika ketegangan antara Iran dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel kekal tinggi susulan siri konflik dan serangan yang berlaku sejak tahun lalu. - Agensi