Tiga rumah terjejas akibat banjir lumpur

Iklan
Kedudukan rumah yang terletak bersebelahan dengan tapak projek menyebabkan lokasi itu terkena banjir lumpur.

SUNGAI PETANI - Sekurang-kurangnya tiga rumah terjejas akibat banjir lumpur di Kampung Serukam di sini, didakwa berpunca daripada runtuhan tapak projek perumahan yang terletak bersebelahan dengan perkampungan itu pada Rabu.

Salah seorang mangsa, Siti Aishah Hassan, 44, berkata, hujan lebat sejak kira-kira jam 12.30 tengah hari turut menyebabkan rumah mentuanya dinaiki air setinggi kira-kira 0.5 meter.

Iklan
Iklan
Keadaan rumah penduduk yang terjejas.

Menurutnya, mujur kedua-dua ibu bapa mentuanya telah dipindahkan ke rumahnya yang terletak di kawasan lebih tinggi, memandangkan mereka mengalami strok.

"Saya tak dapat bayangkan jika ibu bapa mentua ada di rumah ini...hujan lebat menyebabkan air lalu deras dan laju, sekejap saja dah naik.

Iklan

"Perkakasan rumah dan peralatan elektrik termasuk peti ais dan mesin basuh dah terbalik, barang lain semua berterabur, dalam rumah penuh lumpur," katanya.

Siti Aishah membersihkan rumah mentua yang terjejas banjir lumpur.

Jelasnya, adik ipar, Rashid Khamis, 44, yang ketika itu terlelap di ruang bawah rumah terkejut akibat kejadian, namun berjaya keluar menyelamatkan diri.

Iklan

Sementara itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Khairul Anuar Zainol berkata, bergegas ke lokasi sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian.

"Saya difahamkan ini kejadian kedua selepas rumah penduduk dilanda banjir lumpur tahun lalu.

"Kedudukan rumah dengan tapak projek yang terletak bersebelahan menyebabkan sisa runtuhan tanah mengenai rumah mereka... namun saya dimaklumkan pihak pemaju telah mengambil tindakan segera menghantar pasukan bagi tujuan pembersihan," katanya.

Penduduk membersihkan rumah yang terjejas banjir lumpur.

Sementara itu, Penyelia Tapak Projek Scientex SP Astana, Mohd Haniff Ramli berkata, setakat ini, tiga rumah terjejas, dengan dua daripadanya dikenal pasti terletak dalam kawasan tapak projek.

Menurutnya, sebuah lagi rumah yang terjejas teruk turut disantuni biarpun berada di luar tapak projek berikutan kejadian disyaki berpunca daripada kerja-kerja pembinaan.

"Lebih kurang setahun lalu dah berlaku juga kejadian seperti ini, kami hantar pasukan untuk membersihkan rumah terjejas dan bayar saguhati berdasarkan penilaian kerosakan, begitu juga kali ini," jelasnya.

Mohd Haniff berkata, pihaknya sentiasa memastikan aspek kebajikan mangsa diberi perhatian, termasuk kerja pembersihan jalan akibat runtuhan yang menyebabkan laluan penduduk terputus.

"Kami bantu dari segi tenaga kerja untuk cuci rumah dan menghantar jentera untuk membersihkan jalan...bila berlaku kejadian ini, mereka terus hubungi dan kita turun ke lokasi, setakat ini rumah penduduk sedang dicuci, selepas ini kita buat penilaian kerosakan dan tindakan seterusnya," katanya.

Mohd Haniff (kiri) memantau lokasi rumah penduduk yang terjejas.

Difahamkan, penduduk terjejas yang berada dalam kawasan tapak projek telah dimaklumkan untuk berpindah ke lokasi lain, namun masih dalam proses rundingan sebelum persetujuan dicapai antara kedua-dua pihak.

Setakat ini, projek perumahan di kawasan berkenaan memasuki fasa kerja tanah dan kerja-kerja binaan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila tapak projek pembinaan yang telah diratakan dipercayai runtuh akibat hujan lebat sehingga menyebabkan beberapa buah rumah ditenggelami banjir lumpur.