Lelaki bogel cuba larikan kereta, ganggu orang awam ditahan polis

Iklan
Suspek ditahan orang ramai di lokasi kejadian

MELAKA – Seorang lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian cubaan melarikan sebuah kenderaan serta mengganggu orang awam di sekitar Taman Ayer Molek di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, suspek berusia 36 tahun itu ditahan oleh anggota Kereta Peronda Polis (MPV) Melaka Tengah kira-kira jam 8.20 malam.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kejadian pertama berlaku sekitar jam 8 malam apabila suspek yang tidak berpakaian dipercayai memasuki sebuah kenderaan milik pengadu yang diletakkan di halaman rumah di Jalan Molek 1, Taman Ayer Molek.

“Pengadu yang menyedari kejadian tersebut meminta anak lelakinya keluar dari kenderaan sebelum bertindak menarik suspek keluar.

Iklan

“Suspek kemudian bertindak agresif dan enggan meninggalkan kawasan berkenaan menyebabkan pengadu menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang lelaki tanpa pakaian dan berlumuran darah ditahan oleh orang awam susulan kejadian tersebut.

Iklan

Halim berkata, dalam satu lagi kejadian yang dipercayai berkaitan, seorang lelaki bersama isteri dan anak perempuan mereka yang berusia dua tahun terserempak dengan suspek di kawasan persimpangan Taman Ayer Molek.

“Suspek dipercayai cuba merampas telefon bimbit milik isteri pengadu sebelum bertindak memegang anak perempuan pasangan tersebut.

“Pengadu kemudian cuba mendapatkan semula anaknya sehingga berlaku pergelutan kecil sebelum orang awam membantu mengawal suspek sementara menunggu kehadiran polis,” katanya.

Menurut beliau, susulan maklumat yang diterima, anggota MPV Melaka Tengah segera digerakkan ke lokasi dan berjaya menahan suspek.

Hasil pemeriksaan awal mendapati suspek mengalami kecederaan di bahagian kepala sebelum dibawa ke Balai Polis Tiang Dua untuk tindakan lanjut.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif THC,” katanya.

Menurut Halim, kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, serta Seksyen 324 dan Seksyen 377D Kanun Keseksaan.

Katanya, semakan turut mendapati suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Permohonan reman telah dibuat terhadap suspek selama tujuh hari bermula 30 September hingga 6 Oktober bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri apabila berdepan individu yang bertindak agresif atau mencurigakan.

Sebaliknya, orang awam disaran segera menghubungi polis atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.