Bekas Pengarah Besar didakwa perdaya Lembaga Pengarah tukar hak milik 16 tanah Felda

Iklan
Faizoull (tengah) yang memakai topi dan berkemeja berwarna kelabu dibawa pegawai SPRM ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Pengarah Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas satu pertuduhan memperdayakan Lembaga Pengarah agensi kerajaan itu berhubung pemberian kuasa kepada sebuah syarikat untuk menukar hak milik 16 tanah Felda pada 12 tahun lalu.

Faizoull, 66, yang memakai kemeja berwarna kelabu, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Suzana Hussin.

Iklan
Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Laporan awal Felda mula didedah minggu depan – PM

[VIDEO] Bekas CEO FIC didakwa perdaya nilai harga pasaran 24 tanah

Iklan

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai Pengarah Besar Felda telah memperdayakan Lembaga Pengarah agensi berkenaan dengan menyembunyikan fakta bahawa surat kuasa wakil bertarikh 3 Jun 2014 memberikan kuasa kepada syarikat Synergy Promenade Sdn Bhd untuk menukar hak milik tanah-tanah kepunyaan Felda.

Ia membabitkan projek Cadangan Pembangunan Lot Felda di 16 tanah di Jalan Semarak di sini.

Iklan

Kesalahan itu mendorong Lembaga Pengarah Felda bersetuju dengan Power of Attorney tersebut, menyebabkan tanah-tanah kepunyaan Felda ditukar hak milik kepada Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd dan Synergy Promenade.

Sedangkan Lembaga Pengarah tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan. 

Kesalahan didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Menara Felda, Persiaran KLCC di sini pada 2 September 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), N Joy Jothi mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin, dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan sangat serius.

“Ia termasuk syarat tambahan, pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) sekali setiap bulan,” katanya. 

Bagaimanapun, peguam, Datuk Sukri Mohamed yang mewakili tertuduh memohon jaminan lebih rendah iaitu RM30,000 dengan seorang penjamin.

Menurutnya, bapa kepada empat anak itu merupakan bekas penjawat awam dan kini mengharapkan wang pencen.

“Faizoull tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri selain sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM70,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 6 November depan.

Pada Jumaat, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman memaklumkan, dua bekas pengurusan tertinggi agensi itu, yang disiasat berkait penyelewengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) akan didakwa di mahkamah.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM membuka tujuh kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan Felda serta anak syarikatnya, FIC.