SHAH ALAM – “Kak, boleh tak kalau nak cepatkan kau tunang tu? Sebab aku takut tak sempatlah.”
Demikian permintaan Allahyarham Siti Noratikah Zulkarnain Aw, 20, kepada kakaknya, Siti Rozana Zulkarnain Aw, 24, ketika sedang bertarung dengan kanser tulang.
Menurut Siti Rozana, ketika itu adiknya sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum hasrat tersebut ditunaikan apabila majlis pertunangannya yang asalnya dirancang berlangsung dua bulan kemudian diawalkan kepada 2 Ogos lalu.
“Arwah cakap dia nak rasa macam mana suasana orang ramai datang dan dia boleh melihat sendiri majlis itu.
“Arwah tidak mahu nanti apabila dia sudah tiada, orang datang tetapi dia tidak dapat melihatnya.
“Arwah sempat memakai inai, melihat para tetamu hadir dan menyaksikan sendiri hari bahagia saya,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Bagaimanapun, Siti Rozana berkata, keadaan kesihatan adiknya semakin merosot sebelum menghembuskan nafas terakhir 28 hari selepas majlis tersebut berlangsung.
Menurutnya, Allahyarham telah berjuang melawan kanser tulang sejak berusia 17 tahun pada 2022.
Katanya, tiada lagi rawatan kemoterapi yang dapat dilakukan selepas sel kanser merebak ke paru-paru pada awal tahun ini.
Keadaan itu menyebabkan Allahyarham yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik sering memikirkan keadaan bapanya, Zulkarnain Aw Abdullah, 52, yang sukar menerima hakikat bahawa salah seorang anaknya bakal pergi buat selama-lamanya.
Menurut Siti Rozana, adiknya berulang kali menasihati bapanya supaya reda dengan ketentuan ALLAH SWT dan tidak menyalahkan sesiapa sekiranya dia meninggal dunia.
“Arwah selalu pesan, ‘kalau adik dah tak ada, jangan salahkan siapa-siapa. Ayah kena reda, ini semua takdir,’” katanya yang juga penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM).
Beliau berkata, sepanjang berdepan penyakit tersebut, Allahyarham gemar menulis dan mencatat pengalaman serta perjalanan hidupnya sejak disahkan menghidap kanser.