Pemandu terpijak pedal minyak, kereta rempuh premis, kenderaan lain

Iklan
Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki warga emas merempuh sebuah premis di Batu 3, Jalan Apas, Tawau.

TAWAU - Terpijak pedal minyak punca sebuah kereta merempuh sebuah premis dan kenderaan lain di kawasan parkir Batu 3, Jalan Apas, Tawau, pada petang Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, lelaki warga emas berusia 60 tahun yang juga pemandu kenderaan tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang merempuh premis perniagaan dan sebuah Toyota Innova yang diletakkan di kawasan parkir.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu Perodua Myvi dipercayai  terpijak pedal minyak ketika hendak keluar dari petak parkir selepas selesai mendapatkan rawatan di sebuah klinik di kawasan berhampiran.

Iklan

"Kenderaan tersebut kemudian meluncur ke hadapan lalu melanggar sebuah premis perniagaan. Dalam keadaan panik, pemandu cuba mengundurkan kenderaan sebelum melanggar sebuah Toyota Innova yang diletakkan berhampiran," katanya dalam kenyataan.

Pemandu cuba mengundurkan kenderaan sebelum melanggar sebuah Toyota Innova.

Iklan

Beliau berkata, akibat kejadian itu, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk.

"Pemandu Perodua Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan dan ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah manakala ujian pernafasan turut dijalankan di Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

"Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Rosdi turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan tampil membantu siasatan.

"Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Mohd Hanafiah Mat Sari di talian 019-886 7715 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya.