SEREMBAN – Pelajar lelaki Tingkatan Dua yang meninggal dunia di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah pada 25 September lalu dipercayai dipukul menggunakan getah paip oleh seorang pelajar senior.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa selesai menunaikan solat Maghrib di asrama sekolah berkenaan.
Menurut beliau, semua pelajar sepatutnya kembali ke bilik masing-masing untuk sesi ulang kaji pelajaran selepas solat Maghrib.
“Namun, hasil siasatan mendapati mangsa telah dipanggil oleh suspek ke biliknya yang terletak di tingkat dua.
“Di dalam bilik tersebut, mangsa dipercayai dipukul oleh suspek menggunakan getah paip,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan pada Selasa.
Alzafny berkata, sebelum kejadian, mangsa diarahkan mengambil getah paip tersebut dari bilik air sebelum dibawa masuk ke bilik suspek.
“Sejurus masuk ke dalam bilik, mangsa dipukul beberapa kali pada bahagian tapak kaki menggunakan getah paip.
“Mangsa kemudian diarahkan berdiri dan membuka baju sebelum dipukul menggunakan tangan pada bahagian depan dan belakang badan sehingga rebah,” katanya.
Menurut beliau, apabila mangsa terbaring, suspek membawa pelajar itu ke sebuah katil dan cuba memberikan bantuan pernafasan selepas mendapati keadaannya semakin kritikal.
“Suspek kemudian menghubungi warden asrama untuk memaklumkan keadaan mangsa sebelum pelajar itu dibawa ke hospital.
“Bagaimanapun, doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.
Alzafny berkata, pemeriksaan awal pada tubuh mangsa tidak menemui sebarang pendarahan luaran, namun kecederaan sebenar yang dialami masih belum dapat dipastikan.
Menurutnya, keputusan bedah siasat juga belum dapat menentukan punca kematian sementara menunggu keputusan analisis sampel spesimen yang dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia.
Beliau berkata, setakat ini polis telah mengambil 68 keterangan saksi yang mempunyai kaitan secara langsung dan tidak langsung dengan kes berkenaan.
“Seramai 51 pelajar, empat guru dan lima warden telah memberikan keterangan yang konsisten mengenai kejadian tersebut.
“Bagaimanapun, masih terdapat beberapa lagi saksi yang akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Alzafny memaklumkan polis telah menahan seorang lagi pelajar lelaki berusia 16 tahun dari sekolah yang sama bagi membantu siasatan.
Katanya, suspek direman selama enam hari untuk membantu siasatan lanjut.
Menurut beliau, berdasarkan rekod polis, tiada laporan berkaitan kejadian buli atau insiden seumpamanya pernah diterima sebelum ini di sekolah berkenaan.
“Namun, hasil siasatan lanjut mendapati terdapat beberapa pelajar yang tampil mendakwa mereka pernah dibuli oleh suspek pertama yang ditahan.
“Polis masih menjalankan siasatan dan mengumpul keterangan berhubung dakwaan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipanggil oleh suspek kerana didakwa menghisap vape dan tindakan yang diambil dipercayai berbentuk hukuman yang dikenakan oleh pelajar senior terhadap pelajar junior.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.
“Perbuatan sedemikian boleh menjejaskan proses siasatan serta menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya.