Agihan ASM3 tertinggi dalam tujuh tahun bukti tatakelola berkesan - Anwar

Iklan
Anwar

SHAH ALAM - Pencapaian agihan pendapatan Amanah Saham Malaysia 3 (ASM3) pada 5.00 sen seunit mencerminkan keupayaan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dalam menguruskan amanah pelaburan dengan baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, agihan pendapatan dengan kadar tertinggi dalam tempoh tujuh tahun itu berjaya dicapai walaupun terpaksa mendepani persekitaran pasaran global yang penuh cabaran.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, tatakelola yang baik bukan sekadar memastikan tiada ketirisan dan salah guna, tetapi juga menuntut kecekapan mengurus amanah, mencipta nilai serta memastikan hasilnya kembali memberi manfaat kepada rakyat.

"Alhamdulillah, ASM3 mengisytiharkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2026, kadar tertinggi dalam tempoh tujuh tahun dan meningkat dari 4.75 sen seunit (2025).

Iklan

"Moga pengagihan ini dapat membantu memperkukuhkan simpanan dan perancangan kewangan rakyat demi masa hadapan yang lebih baik Insya-ALLAH," katanya menerusi hantaran di X pada Selasa.

Pada Isnin, ASNB mengumumkan pengagihan pendapatan 5.00 sen seunit bagi dana harga tetapnya, ASM 3 untuk tahun kewangan berakhir 30 September 2026.

Iklan

Jumlah pengagihan pendapatan RM1.01 bilion itu merupakan pengagihan tertinggi dana tersebut dalam tempoh tujuh tahun yang bakal memanfaatkan 818,137 pemegang unit dengan pegangan 20.97 bilion unit.

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu memaklumkan, kadar pengagihan bagi tahun kewangan semasa adalah lebih tinggi berbanding 4.75 sen seunit pada tahun sebelumnya.