SHAH ALAM - Ketiadaan Menteri Pengangkutan tidak sepatutnya menjadi kebimbangan utama menjelang pelancaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijadualkan pada 12 Disember depan.
Bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, terdapat pelbagai perkara lebih penting yang perlu diberi perhatian sebelum sesebuah sistem rel dilancarkan.
Iklan
Iklan
"Dia pula bimbang tak ada tandatangan menteri! Kawan, itu langsung bukan perkara utama yang perlu dibimbangkan!" katanya dalam satu hantaran Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mempersoalkan sama ada kelulusan diperlukan bagi pelancaran ECRL sudah diperoleh memandangkan sistem rel baharu itu memerlukan tandatangan Menteri Pengangkutan mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 bagi membolehkan ia beroperasi.
Bagaimanapun, Anthony menjelaskan, dalam sistem Jemaah Menteri, ketiadaan seseorang menteri yang mengetuai kementerian tidak bermakna urusan pentadbiran dan kelulusan kementerian itu terhenti.
Menurutnya, Perdana Menteri boleh memikul tanggungjawab portfolio berkenaan atau memberi kuasa kepada menteri lain untuk menjalankan tugas kementerian itu bagi sementara waktu.
"Kuasa ini termaktub dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan. Adalah sedikit kepercayaan kepada Ketua Setiausaha dan Penasihat Undang-undang Kementerian Pengangkutan (MOT). Jangan terlalu berkira sangat," tegasnya lagi.