Gigih kayuh basikal cari rezeki, ibu tunggal OKU terima bantuan

Iklan
Nur Rahimah yang bergantung kepada basikal untuk mencari rezeki dengan menghantar makanan di sekitar Kajang dan Bangi menerima bantuan LZS serta TNB - Foto: says.com dan LZS

KAJANG – Kehilangan sebuah basikal hampir memutuskan sumber pendapatan seorang ibu tunggal orang kurang upaya (OKU) yang bergantung sepenuhnya kepada kenderaan itu untuk menghantar makanan di sekitar Kajang dan Bangi.

Menurut Lembaga Zakat Selangor (LZS) Daerah Hulu Langat, Nur Rahimah Alia telah hampir lapan tahun bergelar ibu tunggal dan terus gigih mengayuh basikal demi mencari rezeki untuk menyara keluarganya.

Iklan
Iklan

“Kalau nampak Nur Rahimah mengayuh di jalan raya, mungkin kita hanya melihat seorang penghantar makanan.

“Tetapi di sebalik setiap kayuhan itu, ada seorang ibu yang sedang berjuang mencari rezeki untuk anaknya,” menurut LZS menerusi satu perkongsian di Facebook pada Selasa.

Iklan

LZS berkata, Nur Rahimah yang merupakan OKU fizikal tidak memiliki motosikal atau kereta dan hanya bergantung kepada basikal sebagai pengangkutan untuk bekerja.

Lebih menyentuh hati, anaknya juga merupakan OKU dan memerlukan perhatian serta sokongan berterusan.

Iklan

“Basikal itu bukan sekadar kenderaan, tetapi menjadi sumber utama pendapatan keluarga mereka,” katanya.

Menurut LZS, Nur Rahimah pernah berdepan ujian berat apabila basikal yang digunakan untuk bekerja dilaporkan hilang.

“Bagi Nur Rahimah, yang hilang bukan sekadar sebuah basikal, tetapi punca rezekinya,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, kesulitan yang dihadapinya mendapat perhatian Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang tampil menghulurkan bantuan dengan menyumbangkan sebuah basikal baharu bagi membolehkannya kembali bekerja.

Dalam perkembangan sama, LZS memaklumkan bahawa bantuan turut disalurkan kepada keluarga tersebut sejak 2020 bagi membantu menampung keperluan harian serta pendidikan anaknya.