Selangor arah 70 bangunan kerajaan negeri pasang panel solar

Iklan
Ketua Global Pembuatan Dalaman Renesas Electronics, Ooi Heng Ee (kanan) memberi penerangan kepada Jamaliah (kiri) pada Majlis Perasmian Projek Solar Panel Tempat Letak Kereta di Renesas Semiconductor KL Sdn. Bhd Zon Perindustrian Bebas Telok Panglima Garang pada Selasa.

KUALA LANGAT - Sebanyak 70 bangunan di bawah pentadbiran kerajaan Selangor diarahkan memasang panel solar sebagai sebahagian usaha memperluaskan penggunaan tenaga boleh baharu serta menggalakkan amalan hijau dalam sektor awam.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, kerajaan negeri mahu bangunan milik kerajaan menjadi contoh terlebih dahulu sebelum menggalakkan lebih banyak pihak swasta dan industri melaksanakan inisiatif sama.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemasangan panel solar itu turut diperluaskan ke Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dengan hanya beberapa bangunan belum melaksanakannya berikutan isu teknikal.

"Kerajaan negeri sudah mengarahkan setiap PDT untuk melaksanakan pemasangan panel solar,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Projek Solar Panel Tempat Letak Kereta di Renesas Semiconductor KL Sdn. Bhd Zon Perindustrian Bebas Telok Panglima Garang di sini pada Selasa.

Jamaliah memberitahu, kerajaan negeri pada masa sama sedang menggalakkan bangunan kerajaan mencapai piawaian bangunan hijau selain memasang panel solar.

Iklan

Beliau menjelaskan, usaha itu selaras dengan penubuhan pusat adaptasi perubahan iklim di Selangor yang turut menyokong usaha memperkukuhkan agenda kelestarian di bangunan kerajaan negeri.

"Kita mahu pastikan bukan sahaja panel solar, tetapi bangunan kerajaan negeri juga boleh mencapai tahap bangunan hijau.

"Kerajaan negeri sentiasa memantau perkara ini kerana kita tahu sekiranya kita mahu menggalakkan syarikat swasta atau pihak industri menjalankan inisiatif seperti ini, kita harus menjadi contoh terlebih dahulu," jelas beliau.

Menurutnya, inisiatif itu akan diteruskan secara berperingkat dengan sasaran meningkatkan pencapaian setiap tahun.

Dalam pada itu, Jamaliah berkata, kerajaan negeri turut menggalakkan penduduk Selangor melaksanakan inisiatif hijau seperti pemasangan panel solar dan sistem penuaian air hujan.

"Kerajaan negeri sudah mengumumkan inisiatif rebat cukai melalui PBT (pihak berkuasa tempatan) bagi menggalakkan penduduk mengambil bahagian dalam usaha kelestarian alam sekitar," tambah beliau.