JOHOR BAHRU – Sebanyak lapan stesen pemantauan di Johor mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dengan bacaan antara 155 hingga 172 setakat jam 12 tengah hari, pada Selasa.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, keadaan itu memerlukan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga terutama golongan yang lebih terdedah kepada kesan pencemaran udara.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti fizikal dan aktiviti lasak di luar rumah, khususnya kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan atau kesihatan.
“Sekiranya perlu berada di luar, gunakan pelitup muka yang sesuai, minum air secukupnya dan kurangkan tempoh pendedahan kepada udara luar,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Tian Soon, orang ramai juga perlu mendapatkan rawatan dengan segera sekiranya mengalami gejala seperti sesak nafas, batuk berterusan atau ketidakselesaan pada mata dan tekak.
Sebelum ini, beberapa kawasan di Johor turut merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, termasuk Pasir Gudang, Batu Pahat, Kota Tinggi, Tangkak dan Kluang.
Berdasarkan bacaan awal pagi, Pasir Gudang merekodkan IPU 165, diikuti Batu Pahat (160), Kota Tinggi (156), Tangkak (154) dan Kluang (128).
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat.