KUALA LANGAT - Selangor bakal menjadi negeri pertama melaksanakan Undang-Undang Kecil (UUK) berkaitan penggunaan plastik sekali guna sekiranya draf peraturan berkenaan diluluskan.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, ketika ini draf UUK itu sedang dimuktamadkan di Pejabat Penasihat Undang-Undang (PUU) negeri.
Menurutnya, kerajaan negeri kini hanya menunggu proses itu selesai sebelum pengumuman lanjut dibuat kepada umum.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Projek Solar Panel Tempat Letak Kereta di Renesas Semiconductor KL Sdn. Bhd Zon Perindustrian Bebas Telok Panglima Garang di sini pada Selasa.
Jamaliah memberitahu, antara perkara yang akan diberi perhatian menerusi pelaksanaan UUK itu adalah memastikan caj beg plastik 20 sen yang ditetapkan ketika ini dilaksanakan di semua premis terlibat.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, kerajaan negeri belum membuat keputusan untuk menaikkan kadar caj 20 sen, sebaliknya memberi tumpuan kepada memastikan kutipan caj sedia ada dipatuhi.
"Sekiranya mana-mana pihak swasta terlibat seperti pasar raya dan kedai yang menggunakan plastik tidak mengenakan caj 20 sen, selepas ini kita akan mempunyai undang-undang untuk memastikan mereka membayarnya atau tindakan susulan akan diambil,” jelas beliau.
Menurutnya, penguatkuasaan lebih tegas turut boleh dilaksanakan terhadap premis yang gagal mematuhi peraturan berkenaan.
Jamaliah berkata, ketika ini terdapat premis yang sudah mengenakan caj beg plastik secara sukarela, namun kerajaan negeri mahu amalan itu disokong dengan peruntukan undang-undang.
"Banyak premis yang sudah melaksanakannya, tetapi lebih kepada secara sukarela.
"Kita mahu pastikan ia bukan sekadar garis panduan, sebaliknya disokong dengan undang-undang," jelas beliau.
Jamaliah memberitahu, pihaknya dijangka mengadakan perbincangan dengan PUU bagi meneliti perkembangan terkini draf UUK berkenaan sebelum ia dimuktamadkan.
"Selepas proses ini selesai, kerajaan negeri akan mengumumkan kepada pihak media," tambah beliau.