'Rumah saya hancur' – Pemilik dakwa rugi puluhan ribu akibat kegiatan lombong bitcoin

Iklan
Rabiatul Adawiyah melihat kerosakan dan saluran khas yang ditinggalkan penyewa di rumah miliknya.

KUANTAN - Seorang pemilik rumah di sebuah perumahan di Cherating di sini mendakwa terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit selepas kediamannya dipercayai digunakan penyewa untuk kegiatan perlombongan bitcoin secara haram.

Lebih membimbangkan, Rabiatul Adawiyah Abdul Rahman, 35, yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal, mungkin berdepan tuntutan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) susulan penggunaan bekalan elektrik secara curi di rumah berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara itu diketahui selepas dimaklumkan jiran mengenai kehadiran kenderaan TNB dan polis di rumah berkenaan pada Ahad.

“Bila dapat tahu kegiatan macam ini, saya rasa teraniaya sangat-sangat apabila mengetahui penyewa buat macam ini. Saya pula tidak berapa sihat kerana pernah mengalami strok.

Iklan

“Saya bagi rumah dalam keadaan baru, semua pendawaian pun baru. Lepas itu bila dia masuk macam ini, hancur rumah saya.

“Siling, pendawaian yang dia tambah, dia tebuk sana, tebuk sini. Jadi agak besar juga modal kerugian yang terpaksa ditanggung,” katanya ketika ditemui di perumahan Cherating di sini pada Selasa.

Iklan

Rabiatul Adawiyah bersama suaminya melihat keadaan ruang dalam rumahnya yang mengalami kerosakan teruk.

Dia yang tidak bekerja berikutan masalah kesihatan mengakui amat bimbang memikirkan kemungkinan tuntutan daripada TNB memandangkan akaun elektrik kediaman tersebut didaftarkan atas namanya.

“Saman TNB dijangka kalau curi api macam ini boleh mencecah puluhan ribu hingga ratusan ribu ringgit sebab pemilik kena bertanggungjawab.

“Kesan jangka panjang untuk saya bayar kepada pihak TNB itu yang membimbangkan,” katanya.

Bahagian dinding dan siling rumah ditebuk serta ditutupi penebat bunyi dan haba oleh penyewa yang disyaki menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin secara haram.

Bercerita lanjut, Rabiatul Adawiyah berkata, individu terbabit mula menyewa rumahnya sejak April lalu dan memaklumkan kepadanya bahawa dia sudah berkeluarga.

Katanya, dia tidak mengesyaki sebarang kegiatan mencurigakan berikutan penyewa sentiasa berdisiplin menjelaskan bayaran sewaan bulanan selain berurusan secara bersemuka.

“Ini kali pertama saya bagi sewa sejak rumah dibeli sekitar 2018 dan dia datang sendiri ke kedai saya untuk mengambil kunci dan membayar wang deposit secara tunai.

“Penyewa ini jumpa saya dan keluarga, jadi kita tak syak apa-apa dan terlampau bersangka baik,” katanya.

Rabiatul Adawiyah terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit selepas rumahnya digunakan penyewa untuk kegiatan perlombongan bitcoin.

Susulan insiden itu, Rabiatul Adawiyah membuat laporan di Balai Polis Cherating pada petang Ahad bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Dia menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan, termasuk usaha mengenal pasti identiti penyewa yang diberikan kepadanya ketika menyewa rumah berkenaan.

“Polis cakap mereka kesan pada IC semua itu, nak siasat dulu sama ada wujud atau tidak IC itu,” katanya.

Menjawab mengenai tindakan lanjut, Rabiatul Adawiyah mengakui sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan khidmat peguam bagi mempertahankan dirinya.

“Saya juga berlapang dada sekiranya ada mana-mana individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sudi membantu saya berkaitan dengan kes ini,” ujarnya.

Mohd Noraliff Safuan melihat keadaan rumah yang dijadikan tempat melombong bitcoin secara haram oleh penyewa menggunakan bekalan elektrik curi.

Rabiatul Adawiyah berkata, keadaan kewangan keluarganya agak terhad berikutan dia tidak bekerja kerana masalah kesihatan, manakala suaminya, Mohd Noraliff Safuan Mohd Haslan, 37, terpaksa berhenti kerja untuk menjaganya.

“Saya dalam keadaan sakit macam ini memang tak bekerja, suami saya pula terpaksa tak bekerja untuk jaga saya selama lima bulan saya sakit.

“Jadi pendapatan kami agak terhad, terkesan sangat dengan keadaan macam ini pula,” katanya.

Rabiatul Adawiyah berkata, selepas kejadian itu dia kini lebih berhati-hati untuk menyewakan rumah kepada orang lain.

“Memang takut sebab kita terlampau bersangka baik pada orang.

“Sebelum ini saya tengok perkara macam ini berlaku di Kuala Lumpur, tapi rupa-rupanya terkena pada diri sendiri, jadi agak sedih juga,” katanya.