ISKANDAR PUTERI - Kompleks Mahkamah Johor Bahru di sini bernilai hampir RM200 juta akan mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kompleks seluas lebih 6.87 hektar itu dibina bagi menggantikan Mahkamah Johor Bahru di Jalan Ayer Molek.
Jelas beliau, bangunan mahkamah berusia 98 tahun itu akan diserahkan kepada kerajaan Johor.
"Warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim akan dipersembahkan dalam masa terdekat untuk memohon perkenan merasmikan kompleks mahkamah di sini.
"Kita jangka majlis perasmian boleh dibuat pada tahun ini sebelum beroperasi sepenuhnya. Kita juga rasa dengan bangunan yang cukup gah ini, biarlah ada namanya tersendiri. Kita serahkan nama itu kepada kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kompleks Mahkamah Johor Bahru di sini pada Selasa.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan infrastruktur awam terus diberi perhatian menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
"Jabatan Kerja Raya (JKR) akan terus memainkan peranan sebagai agensi teknikal utama kerajaan dalam melaksanakan projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Ketika ini sebanyak 11 projek institusi kehakiman sedang dilaksanakan di seluruh negara dengan nilai keseluruhan RM736 juta, termasuk kompleks mahkamah baharu di Temerloh, Sri Aman dan Ipoh,” katanya.
Menurut Nanta, kompleks berkenaan mula dibina pada 8 Februari 2023 dan berjaya disiapkan sepenuhnya dalam tempoh kontrak.
Katanya, kemudahan itu menyediakan 24 bilik bicara yang terdiri daripada satu Mahkamah Khas, tujuh Mahkamah Tinggi, lapan Mahkamah Sesyen dan lapan Mahkamah Majistret.
“Ia turut dilengkapi kamar hakim, pejabat pentadbiran dan kewangan, auditorium, perpustakaan, ruang tahanan sementara Orang Kena Tuduh (OKT), surau, tadika, kafeteria serta dewan serbaguna berkapasiti 300 orang,” katanya.