KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) memperluas pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) ke 333 sekolah berasrama tahun ini menerusi peruntukan tambahan RM5 juta bagi memperkukuh asepk pemantauan dan keselamatan murid dalam usaha menangani isu buli.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, sebanyak 300 pembantu warden MySTEP turut ditempatkan mulai April lepas bagi membantu memantau murid di asrama, khususnya pada waktu malam.
"Ada langkah yang sudah kita mulakan sejak beberapa tahun lepas. Ada juga yang baru kita tambah apabila melihat masih ada ruang yang perlu diperbaiki,” katanya menerusi hantaran di Facebook mengenai langkah KPM menangani isu buli di sekolah.
Beliau berkata, sistem aduan buli KPM turut ditambah baik dengan menyediakan fungsi aduan secara anonim menerusi Portal Aduan Buli KPM bagi melindungi identiti pengadu dan saksi.
Selain itu, usaha pencegahan dan intervensi awal turut diperkukuh menerusi Kerangka S.A.F.E yang merangkumi pendekatan pencegahan, intervensi awal dan pemulihan, termasuk melalui Pembimbing Rakan Sebaya dan Kaunseling Berfokus.
Fadhlina berkata, Pendidikan Karakter akan diperkenalkan dalam Kurikulum Persekolahan 2027 dengan penekanan terhadap nilai dan sahsiah termasuk integriti serta empati.
Beliau berkata, KPM turut bekerjasama dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dalam penggubalan Akta Antibuli 2026 yang turut memperuntukkan penubuhan Tribunal bagi Antibuli sebagai saluran untuk mangsa mendapatkan pembelaan.
"KPM juga memperkenalkan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli pada 2023 sebagai rujukan rasmi sekolah untuk menerima aduan, menjalankan siasatan, mengambil tindakan disiplin dan melaksanakan intervensi,” katanya.
Fadhlina berkata, KPM tidak boleh berpuas hati dengan usaha dilaksanakan dan perlu sentiasa menilai serta memperbaiki sebarang kelompongan, selagi masih ada murid yang belum berasa selamat di sekolah.
"Selagi ada anak yang belum rasa selamat di sekolah, kerja kita belum selesai,” katanya. - Bernama