Kestabilan pendapatan lebih penting

Iklan
Reruai jualan usahawan mikro sempena Karnival UMBI.

KESTABILAN pendapatan dilihat lebih penting kepada kebanyakan usahawan mikro di Malaysia berbanding mengejar pertumbuhan perniagaan semata-mata terutamanya ketika berdepan peningkatan kos sara hidup.

Dapatan penilaian Projek UMBI mendapati 78 peratus peserta program berupaya memenuhi keperluan asas isi rumah menerusi pendapatan perniagaan mereka.

Iklan
Iklan

Projek UMBI merupakan inisiatif tiga tahun oleh Institute of Malaysian and International Studies (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan sokongan The Coca-Cola Foundation yang bertujuan membantu usahawan mikro memperkukuh pengurusan operasi dan kewangan perniagaan.

Sehingga kini, lebih 1,400 usahawan mikro di seluruh negara menyertai program berkenaan.

Iklan

Ketua Penyelidik Projek UMBI merangkap Felo Penyelidik IKMAS, UKM, Dr Muhamad Azwan Abd Rahman berkata, pendapatan yang lebih konsisten membolehkan isi rumah merancang perbelanjaan harian dan mengurus komitmen kewangan dengan lebih baik.

“Di peringkat perusahaan mikro, pendapatan yang lebih stabil selalunya lebih penting daripada pertumbuhan.

Iklan

“Apabila pendapatan harian menjadi lebih konsisten, isi rumah lebih bersedia menampung keperluan rutin seperti makanan, pendidikan dan penjagaan kesihatan walaupun tanpa peningkatan pendapatan yang besar,” ujarnya.

Menurutnya, ketidaktentuan pendapatan menjadi antara cabaran utama usahawan mikro khususnya dalam sektor makanan dan minuman.

Faktor seperti cuaca, jumlah pelanggan, lokasi perniagaan dan perubahan kos bahan mentah boleh memberi kesan langsung kepada hasil jualan harian.

Dalam pada itu, kajian turut mendapati kira-kira 86.6 peratus perniagaan yang menyertai program tersebut mencatat keuntungan bulanan di bawah RM6,000.

Angka itu menggambarkan skala operasi majoriti perusahaan mikro yang masih kecil, namun pendapatan yang lebih konsisten boleh memberi kesan besar kepada kestabilan kewangan keluarga.

Presiden The Coca-Cola Foundation, Carlos Pagoaga berkata, ramai keluarga di Malaysia bergantung kepada perniagaan kecil sebagai sumber pendapatan harian.

Jelasnya, operasi perniagaan yang lebih konsisten berpotensi membantu keluarga menghadapi peningkatan kos sara hidup dari semasa ke semasa.

Melalui Projek UMBI, peserta diberikan bimbingan praktikal berkaitan pengurusan operasi harian, asas kewangan dan perancangan perniagaan bagi membantu mereka mengurus turun naik pendapatan dengan lebih baik.

Program itu turut melibatkan ramai wanita termasuk ibu tunggal yang menjalankan perniagaan makanan secara kecil-kecilan bagi menyara keluarga.

Bagi golongan berkenaan, tambahan pendapatan walaupun dalam jumlah kecil tetap membantu menampung keperluan asas seperti makanan, utiliti dan pendidikan.

Dapatan tersebut menunjukkan bahawa bagi usahawan mikro, perniagaan yang mampu menjana pendapatan secara konsisten bukan sahaja membantu memastikan kelangsungan operasi, malah menjadi asas penting dalam menjamin kestabilan kewangan isi rumah.