KOTA KINABALU - Hak Sabah termasuk Pemberian Khas 40 peratus tidak pernah dijadikan syarat kepada sokongan politik, sebaliknya kekal sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Setiausaha Akhbar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Ahmad Farid Sainuri berkata, kenyataan Datuk Mustapha Sakmud sebelum ini dipetik di luar konteks hingga menimbulkan persepsi bahawa hak perlembagaan Sabah dikaitkan dengan sokongan politik kepada Kerajaan Madani.
Beliau berkata, apa yang ingin ditegaskan Mustapha ialah kesungguhan pentadbiran Kerajaan Madani memenuhi keperluan Sabah menerusi peningkatan pembayaran interim yang kini mencecah RM1.5 bilion setahun.
"Di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jumlah tersebut meningkat daripada RM300 juta pada 2023 kepada RM600 juta pada 2024 dan kini RM1.5 bilion setahun,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, peningkatan bayaran interim itu mencerminkan kerjasama antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan dalam mencari penyelesaian terhadap perkara berkaitan hak serta kepentingan rakyat Sabah.
"Penegasan terhadap rekod pentadbiran ini sama sekali tidak bermaksud hak Sabah diletakkan sebagai syarat kepada sokongan politik. Hak Sabah kekal sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk perkara berkaitan Pemberian Khas 40 peratus Sabah,” katanya.
Ahmad Farid berkata Pemberian Khas Interim RM1.5 bilion bukan pengganti kepada penyelesaian tuntutan 40 peratus hasil dari Sabah, sebaliknya bayaran sementara sehingga nilai sebenar Pemberian Khas Sabah dimuktamadkan.
Beliau berkata, proses menentukan formula dan mekanisme pelaksanaan kini sedang dimuktamadkan antara Kerajaan Sabah melalui Setiausaha Kerajaan Negeri serta Kementerian Kewangan Sabah dengan Kerajaan Persekutuan melalui Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
"Keutamaan Menteri kekal jelas, sebarang hal yang berkaitan dengan hak Sabah dan Sarawak dalam MA63 perlu diselesaikan secara berkesan mengikut lunas perlembagaan tanpa menjejaskan perpaduan Negara,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan media bertajuk ‘Kalau mahu pembayaran RM1.5 bilion interim diteruskan, kekalkan kerajaan Madani’ yang disiarkan beberapa portal berita tempatan sejak 27 September lepas. - Bernama