KUALA LUMPUR – Kerajaan belum menetapkan tarikh khusus bagi pembentangan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat, meskipun cadangan itu telah dipersetujui secara prinsip.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, perkara itu memerlukan penelitian lanjut dari aspek perundangan, teknikal dan persempadanan pilihan raya selain rundingan dengan pihak berkepentingan.
Menurut beliau, pelaksanaan cadangan yang selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia itu akan dibuat secara berperingkat menerusi tiga fasa utama iaitu penyelarasan, perundangan dan pelaksanaan.
“Cadangan penubuhan jawatankuasa khas di bawah Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 turut dikemukakan bagi memperincikan mekanisme pelaksanaan cadangan berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) mengenai garis masa pelaksanaan keputusan MTPMA63 terutama berkaitan penambahan kerusi Dewan Rakyat bagi Sabah dan Sarawak mengikut nisbah satu pertiga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 September lalu memaklumkan, kerajaan bersetuju pada prinsipnya untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat, selaras dengan kedudukan kedua-dua wilayah itu dalam pembentukan Malaysia menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, keputusan itu antara perkara utama yang dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).
Mengulas lanjut, Mustapha berkata, pada peringkat perundangan, cadangan penambahan kerusi itu memerlukan pindaan terhadap Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan.
Ujarnya, pindaan berkenaan perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada keseluruhan ahli Dewan Rakyat sebelum dapat dimuktamadkan.
“Bagi peringkat pelaksanaan pula, selepas pindaan dimuktamadkan, SPR akan melaksanakan proses kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya mengikut Perkara 113 dan Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.