Pas terus tuntut LTAT dedah pemilik benifisial sebenar Achi Jaya

Iklan
Ahmad Fadhli

SHAH ALAM - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sekali lagi digesa menjelaskan sebab-sebab pemilihan Achi Jaya Plantations dalam urusan pengambilalihan kepentingan Boustead Plantations Bhd (BPlant) bernilai sekitar RM4.3 bilion.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa, 73.78 peratus saham Achi Jaya Plantations sepertimana dilaporkan media, dipegang oleh dua syarikat berpangkalan di Hong Kong iaitu Herolite Investment Ltd dan Grand Shine Trading Ltd.

Iklan
Iklan

Dalam masa sama, Ahmad Fadhli menggesa LTAT supaya mendedahkan pemilik benifisial sebenar di sebalik kedua-dua syarikat berkenaan.

"Siapakah pemilik benefisial sebenar di sebalik kedua-dua syarikat tersebut?

Iklan

"LTAT perlu menjelaskan asas atau sebab kepada pemilihan, pemilik sebenar dan kedudukan kewangan berhubung isu ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengulangi gesaannya kepada LTAT kerana Achi Jaya Plantations hanya syarikat operasi perladangan berskala kecil, namun mampu mengatasi dua lagi entiti besar yang turut bersaing dalam proses berkenaan iaitu SD Guthrie Bhd dan Tradewinds Plantation Bhd.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan LTAT memilih Achi Jaya Plantations untuk mengambil alih BPlant.

Pemilihan itu turut menarik perhatian kerana SD Guthrie merupakan antara pengeluar minyak sawit terbesar di dunia.

Setiausaha Kehormat Persatuan Veteran Kaum Cina Angkatan Tentera Malaysia (MACVA), Tony Ho Weng Kong berpandangan bahawa keputusan yang dibuat LTAT perlu diteliti bagi memastikan ia tidak menimbulkan masalah kepada pemegang saham pada masa depan.

Sebagai makluman tambahan memetik laporan Dagang News, Achi Jaya Plantations yang diperbadankan pada 10 Februari 2001 dengan nombor pendaftaran 200101003116 (538814-H) menjalankan kegiatan perladangan dan pengilangan kelapa sawit, selain mempunyai kepentingan dalam perniagaan pengurusan serta pengoperasian hotel.

Dari segi prestasi kewangan, Achi Jaya Plantations dilapor mencatatkan hasil sebanyak RM173.43 juta bagi tahun kewangan 2020, dengan keuntungan bersih RM41.35 juta, menurut laporan The Edge yang merujuk rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Dalam sektor perladangan, dokumen pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) pada November 2025 merekodkan kawasan tanaman sawit seluas 11,702 hektar (28,916 ekar) dalam skop audit Achi Jaya Plantations, merangkumi Sungei Gerchang Estate, Johore Labis Estate dan Claire Estate di kawasan Chaah, Johor.