RANCHI – Gelagat seekor monyet mencuri perhatian selepas haiwan itu memasuki sebuah kedai arak, meminum kira-kira setengah botol vodka sebelum mabuk dan tertidur di atas kotak minuman keras.
Kejadian pelik itu berlaku di sebuah kedai arak di Ormanjhi Chowk, Ranchi, negeri Jharkhand, India.
Menurut NDTV, monyet berkenaan tiba-tiba memasuki premis ketika beberapa pekerja masih berada di dalam kedai.
Pekerja pada mulanya cuba menghalau haiwan tersebut dan turut menawarkan biskut dengan harapan dapat mengalih perhatiannya.
Namun, usaha itu tidak berhasil apabila monyet berkenaan sebaliknya mengambil sebotol vodka, memecahkannya dan mula meminum minuman beralkohol tersebut.
Selepas menghabiskan kira-kira setengah botol, haiwan itu mula kelihatan lemah dan mengantuk.
Ia kemudian berbaring di atas beberapa kotak minuman keras di dalam premis sebelum tertidur.
Monyet tersebut dilaporkan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri untuk tempoh agak lama selepas meminum alkohol, sekali gus menyebabkan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu terkejut.
Beberapa individu yang berada di lokasi turut merakam kejadian menggunakan telefon bimbit sebelum rakaman tersebut tersebar di media sosial.
Pekerja kedai juga dilihat meneruskan tugas masing-masing tanpa mengganggu haiwan tersebut.
Haiwan itu dikatakan beberapa kali dilihat sejak beberapa hari sebelumnya menjilat sisa alkohol daripada botol minuman keras yang dibuang di sekitar kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, kali ini ia memasuki sendiri kedai tersebut dan mendapatkan sebotol vodka sebelum meminumnya sehingga tertidur. - Agensi