COIMBATORE - Seorang anggota polis India nekad berpaut pada bumbung sebuah SUV yang dipandu laju sejauh hampir 30 kilometer dalam usaha menahan tiga lelaki disyaki membawa kira-kira 170 kilogram (kg) gutka dan produk tembakau terlarang di Coimbatore, negeri Tamil Nadu pada Ahad.
Aksi seperti babak filem itu berakhir berhampiran Thekkalur di sempadan daerah Tiruppur apabila pihak berkuasa berjaya menahan tiga lelaki serta merampas barangan terlarang berkenaan.
Kejadian berlaku pada jam 5.45 pagi (waktu tempatan) ketika sepasukan polis dari Balai Polis Kovilpalayam diketuai Sub Inspektor, V Vignesh dan Konstabel Kanan, M Velmurugan menjalankan pemeriksaan kenderaan di laluan antara Vilankurichi dan Kalappati.
Pasukan itu cuba menahan sebuah SUV berdaftar di Karnataka yang disyaki membawa gutka (produk tembakau tanpa asap) yang popular di negara Asia Selatan.
Menurut polis, pemandu dan penumpang kenderaan itu pada mulanya enggan berhenti sebelum memperlahankan kenderaan.
Selepas melihat beberapa bungkusan di dalam SUV berkenaan, Vignesh cuba memeriksa, namun penumpang didakwa menolak anggota polis sebelum menutup pintu dan memecut.
Velmurugan memberitahu The New Indian Express ketika itu, tangannya tersepit pada pintu hingga memaksa dia berpaut pada palang bumbung sebelum menarik dirinya ke atas SUV tersebut.
SUV itu terus dipandu laju melalui Vilankurichi, Kalappatti Four Roads dan persimpangan Lapangan Terbang Coimbatore sebelum menuju ke Plaza Tol Kaniyur.
Anggota polis dalam kenderaan lain terus mengejar SUV itu dibantu pemandu ambulans dan sukarelawan dari kawasan sekitar.
Beberapa pengguna jalan raya yang menyaksikan Velmurugan berpaut pada bumbung SUV tersebut sempat merakam aksi itu sebelum tersebar di media sosial. Tindakan berani itu kemudiannya menerima pujian banyak pihak. - Agensi