IPOH - Kerajaan Perak memaklumkan terdapat beberapa pelabur baharu yang berminat bagi menggantikan pelaburan syarikat automotif dari China, BYD Company Limited (BYD) di KLK TechPark, Tanjung Malim.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, usaha itu sedang dilakukan KLK TechPark selepas syarikat berkenaan membuat persiapan besar bagi memenuhi keperluan pelaburan BYD sebelum syarikat automotif tersebut menarik diri.
Menurutnya, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee memaklumkan bahawa KLK TechPark kini sedang berusaha menarik beberapa pelabur baharu untuk mengisi ruang berkenaan.
“KLK TechPark telah berbelanja besar dan bertungkus-lumus untuk menyediakan keperluan bagi pelaburan BYD, tetapi atas sebab-sebab yang kita semua maklum, BYD menarik diri.
“Jadi, sudah tentu KLK TechPark perlu mencari pelaburan baharu untuk membolehkan ia menjana pendapatan yang hilang daripada penarikan BYD,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Loji Tenaga Boleh Diperbaharui Biogas 2MW, Tapak Pelupusan Sanitari Lahat di sini pada Isnin.
Terdahulu media melaporkan Perak sedang berbincang dengan beberapa pelabur berpotensi yang berminat untuk melengkapkan ekosistem automotif Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim.
Sze Yee berkata, pelaburan itu termasuk bagi mengambil tempat syarikat automotif BYD yang membatalkan hasrat untuk melabur di hab berkenaan.
Perbincangan tersebut sedang dijalankan namun nama syarikat terbabit belum boleh diumumkan atas faktor kerahsiaan dan peraturan pasaran modal.
Sementara itu Saarani berkata, beberapa pelabur daripada sektor berbeza sedang dipertimbangkan untuk memasuki KLK TechPark, sekali gus mengisi peluang pelaburan yang sebelum ini dirancang bersama BYD.
Beliau berkata, pembangunan tersebut juga tidak bersaing dengan Tanjung Malim Hi-Tech Park sebaliknya boleh saling melengkapi terutama dalam memenuhi keperluan vendor bagi pembangunan kenderaan elektrik (EV) Proton.
“Minggu lepas saya melancarkan pecah tanah bagi Tanjung Malim Hi-Tech Park. Kedua-duanya tidak bersaing tetapi akan saling melengkapi kerana terdapat keperluan vendor bagi pembangunan Proton EV.
“Syarikat itu berasaskan automotif dan mungkin melibatkan pembangunan berkaitan sektor automotif,” katanya.
Pada 11 September lalu media melaporkan BYD Malaysia mengesahkan tidak akan meneruskan projek kilang pemasangan kenderaan secara tempatan (CKD) di Tanjung Malim, namun rancangan untuk melaksanakan operasi pemasangan tempatan di Malaysia kekal diteruskan.
Pengarah Urusannya, Jacob Ma, berkata perbincangan bagi merealisasikan operasi CKD kini berada pada peringkat lanjutan, susulan perubahan strategi syarikat bagi mendapatkan penyelesaian paling sesuai untuk ekosistem automotif tempatan.
Sementara itu, mengulas mengenai projek Loji Tenaga Boleh Diperbaharui Biogas 2MW di Tapak Pelupusan Sanitari Lahat, Saarani berkata projek berkenaan yang dirancang sejak sekian lama hanya dapat direalisasikan selepas jumlah sisa pepejal yang dikumpulkan melebihi 500 tan sehari.
Katanya, jumlah berkenaan kini dilihat mencukupi dan berbaloi dengan pelaburan tinggi yang dibuat syarikat terbabit.
“Dari masa ke masa, jumlah ini akan bertambah. Apabila rumah bertambah, sampah juga bertambah dan jumlah yang dikumpulkan di loji ini turut meningkat.
“Ini satu keperluan bagi sebuah negeri dan negara apabila industri serta pelaburan semakin bertambah, pembangunan dan jumlah penduduk juga akan meningkat,” katanya.