'Tiga nyawa terkorban dalam tempoh 4 hari'

Iklan
Sabarodzi

IPOH - Sebanyak empat insiden berkaitan lemas dan mangsa hanyut direkodkan di Perak dalam tempoh empat hari bermula 8 hingga 11 November ini dengan tiga daripadanya mengakibatkan kematian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, berdasarkan rekod sehingga 12 November, kejadian berkenaan berlaku di empat lokasi berasingan.

Iklan
Iklan

"Lokasi pertama di Air Terjun Taman Suria, Taiping pada 8 November diikuti Sungai Pinang Besar, Pulau Pangkor pada 9 November melibatkan mangsa yang dikhuatiri lemas.

"Dua lagi insiden dilaporkan di Sungai Jahang, Gopeng pada 10 November dan Sungai Jalong pada 11 November," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Sabarodzi berkata, Musim Monsun Timur Laut yang sedang melanda negara ketika ini meningkatkan risiko kejadian kepala air, arus deras dan banjir kilat khususnya di kawasan sungai, air terjun serta kawasan rekreasi air.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan aktiviti mandi-manda dan berenang di sungai serta air terjun sepanjang musim hujan.

Iklan

Katanya, orang ramai juga diingatkan supaya tidak menghampiri kawasan sungai yang mempunyai arus deras selain sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan papan tanda amaran.

"Awasi anak-anak ketika berada berhampiran kawasan berair dan hentikan sebarang aktiviti rekreasi air sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan.

"Jangan mengambil risiko demi keseronokan sementara kerana keselamatan diri dan keluarga hendaklah sentiasa menjadi keutamaan," katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya sentiasa berwaspada sepanjang Monsun Timur Laut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Orang ramai yang berdepan situasi kecemasan diminta menghubungi talian kecemasan 999.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang wanita maut selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba menyelamatkan dua anak perempuannya yang terjatuh ke dalam sungai dalam kejadian kepala air di Sungai Jalong Tinggi, Kampung Landap di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa bersama suami dan dua anak perempuan berusia tujuh serta sembilan tahun sedang mandi-manda di sungai berkenaan bersama tujuh lagi ahli keluarga.