Video tular: Hayun paip besi sebelum rempuh gerai bubur, suspek kini diburu

Iklan
Tangkap layar video tular memaparkan sebuah kereta merempuh meja dan kerusi gerai bubur di Taman Sentosa, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga asing bertindak menghayunkan paip besi ke arah seorang pelanggan sebelum memandu secara melulu dan merempuh meja serta kerusi di sebuah gerai bubur di Taman Sentosa awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 2.27 pagi daripada seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang bekerja sebagai juruteknik.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pengadu ketika itu sedang makan di sebuah warung bubur di Taman Sentosa sebelum didatangi suspek.

“Suspek keluar dari sebuah kereta sambil membawa sebatang paip besi sebelum menghayunkannya ke arah pengadu, namun mangsa sempat mengelak.

Iklan

“Suspek yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk kemudian masuk semula ke dalam kereta apabila melihat orang ramai datang untuk meleraikan keadaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Azrul Hisham berkata, suspek kemudiannya memandu secara melulu sebelum melanggar meja dan kerusi di warung berkenaan serta beredar dari lokasi kejadian.

Iklan

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

“Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323,” katanya.

Tangkap layar video tular memaparkan sebuah kereta merempuh meja dan kerusi gerai bubur di Taman Sentosa, Johor Bahru.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan rakaman video kejadian di media sosial bagi mengelakkan salah faham atau spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Sebelum ini, tular satu video yang memaparkan sebuah kereta bernombor pendaftaran Singapura dipandu secara melulu sebelum melanggar meja dan kerusi di sebuah gerai makan di Taman Sentosa.

Rakaman itu turut menunjukkan orang ramai memarahi pemandu terbabit sebelum kenderaan berkenaan meninggalkan lokasi kejadian.