TEHERAN – Iran bersedia sepenuhnya jika perang dengan Amerika Syarikat (AS) kembali tercetus, namun masih berusaha mencari penyelesaian menerusi saluran diplomatik, kata Menteri Luarnya, Abbas Araghchi.
Dalam wawancara bersama program Meet the Press NBC News pada Ahad, Araghchi berkata, Teheran akan tetap teguh menghadapi sebarang serangan baharu.
“Pada masa sama, kami bersedia untuk diplomasi. Terpulang kepada Presiden Trump untuk memilih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan Wall Street Journal bahawa Presiden AS, Donald Trump mungkin mempertimbangkan untuk menyambung semula pengeboman terhadap Iran selepas pilihan raya pertengahan penggal AS.
Menurut Araghchi, delegasi Iran telah menggunakan pelbagai saluran diplomatik ketika berada di New York sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mencari jalan membuka semula Selat Hormuz.
Bagaimanapun, beliau mendakwa mesej yang disampaikan Trump berhubung rundingan itu bercanggah.
Trump pada Sabtu berkata, beliau telah menolak cadangan Iran, namun Araghchi mendakwa Teheran masih belum menerima penolakan rasmi menerusi pihak pengantara.
Araghchi berkata, Iran bersedia membuka semula Selat Hormuz sebagai sebahagian daripada perjanjian menamatkan perang dengan syarat antaranya aset dan dana Iran yang dibekukan dilepaskan serta Teheran dibenarkan menjual minyaknya.
Menurut beliau, tuntutan itu bukan perkara baharu dan pernah menjadi sebahagian daripada komitmen terdahulu antara kedua-dua pihak.
“Namun, saya masih mencuba jalan diplomasi kerana saya fikir kita tidak sepatutnya mensia-siakan sebarang peluang untuk keamanan,” katanya.
Araghchi turut menegaskan kepentingan nasional Iran menjadi keutamaan Teheran tanpa mengira perkembangan politik domestik AS.
Kenyataan itu dibuat ketika ketegangan antara Washington dan Teheran kekal tinggi serta usaha mencari penyelesaian diplomatik mengenai konflik dan pembukaan semula Selat Hormuz masih berlangsung. - Agensi