Pakatan diketuai Arab Saudi pintas dua dron Houthi di wilayah Makkah

Iklan
Arab Saudi memintas dan memusnahkan dua dron yang dilancarkan kumpulan Houthi di ruang udara wilayah Makkah ketika ketegangan serangan semakin meningkat. Foto Anadolu Ajansi

ISTANBUL - Pakatan diketuai Arab Saudi pada Ahad memaklumkan bahawa pihaknya memintas dan memusnahkan dua dron yang dilancarkan kumpulan Houthi di ruang udara wilayah Makkah, barat Arab Saudi, lapor Anadolu Ajansi.

Jurucakap pakatan itu, Turki al-Maliki mengumumkan tindakan pemintasan berkenaan menerusi satu kenyataan di platform X, tanpa memberikan butiran mengenai kemungkinan kecederaan atau kerosakan.

Iklan
Iklan

Terdahulu pada Ahad, pakatan itu memaklumkan bahawa pihaknya memintas dan memusnahkan dua peluru berpandu balistik yang dilancarkan kumpulan Houthi ke arah Riyadh serta dua dron di ruang udara Wilayah Timur Arab Saudi.

Bagaimanapun, pakatan itu tidak mengenal pasti pihak yang melancarkan dron yang dipintas di wilayah berkenaan.

Iklan

Setakat ini, tiada sebarang ulasan daripada kumpulan Houthi mengenai kenyataan itu.

Kumpulan berkenaan sebelum ini menafikan bahawa mereka menyasarkan wilayah Makkah.

Iklan

Kumpulan Houthi meningkatkan serangan terhadap Arab Saudi sejak Julai dengan menggunakan peluru berpandu balistik, peluru berpandu krus dan dron untuk menyasarkan lapangan terbang, kemudahan minyak serta lokasi lain.

Riyadh mengetuai pakatan tentera yang menyokong kerajaan Yemen yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sejak Mac 2015.

Kumpulan Houthi menawan ibu negara Yemen, Sanaa, serta beberapa wilayah lain pada September 2014. - Bernama-Anadolu