LONDON -Serangan siber yang menyasarkan Maileva, anak syarikat digital pengendali perkhidmatan pos kebangsaan Perancis, La Poste Group, menyebabkan data peribadi kira-kira 22 juta individu terdedah, lapor Anadolu Ajansi yang memetik laporan media Perancis.
Menurut akhbar harian Perancis Le Figaro dan La Tribune, Maileva yang beroperasi di bawah cabang digital La Poste, Docaposte, mengalami pencerobohan siber berskala besar pada pertengahan September.
Laporan yang memetik data daripada platform keselamatan siber Cyberattaque.org menunjukkan bahawa pencerobohan itu menjejaskan penyedia perumahan sosial, termasuk Flandre Opale Habitat dan Alteal, selain makmal perubatan serta pesakit Hospital Foch di Suresnes.
Penggodam dilaporkan berjaya mengakses kandungan beberapa surat peringatan pembayaran, sekali gus mendedahkan nombor invois, tarikh rawatan dan jumlah bayaran tertunggak.
Maileva telah melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa perlindungan data Perancis, Suruhanjaya Kebangsaan bagi Teknologi Maklumat dan Kebebasan Awam (CNIL), serta membuat laporan jenayah rasmi.
Syarikat itu memaklumkan bahawa semua pelanggan korporat yang terjejas telah dimaklumkan selaras dengan peruntukan undang-undang dan siasatan kehakiman sedang dijalankan.
Maileva yang menyediakan perkhidmatan kepada lebih 70,000 pelanggan korporat mengendalikan penghantaran slip gaji, invois dan surat berdaftar.
Media Perancis menyifatkan pencerobohan yang menjejaskan kira-kira satu pertiga daripada penduduk negara itu sebagai antara kebocoran data terbesar pernah direkodkan di Perancis. - Bernama-Anadolu