Pertemuan rahsia Israel-UAE?

Iklan
Netanyahu (kiri) didakwa mengadakan pertemuan tertutup dengan Mohamed Zayed.

TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan mengadakan lawatan sulit ke Abu Dhabi pada Ahad untuk bertemu Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mohamed Zayed Al Nahyan di tengah-tengah situasi tidak menentu di Asia Barat.

Menurut laporan media tempatan dan kenyataan seorang pegawai kanan rejim Tel Aviv, Netanyahu berlepas ke ibu kota UAE itu menggunakan pesawat persendirian sebelum mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin tersebut dan kembali ke Israel pada hari sama.

Iklan
Iklan

Pejabat Perdana Menteri Israel dan Kementerian Luar UAE bagaimanapun tidak memberikan respons segera mengenai laporan itu.

Kunjungan rahsia itu mencerminkan hubungan ketenteraan antara Israel dan UAE yang semakin erat sejak Perang Iran tercetus pada 28 Februari lalu.

Iklan

Sepanjang konflik berkenaan, Tel Aviv dilaporkan mengambil langkah luar biasa dengan menempatkan sementara sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome di Abu Dhabi.

Hubungan rapat kedua-dua negara turut terserlah di pentas antarabangsa minggu lalu apabila UAE menjadi antara hanya dua negara Arab, selain Bahrain yang kekal berada dalam dewan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika Netanyahu menyampaikan ucapan.

Iklan

Puluhan wakil negara lain bertindak meninggalkan dewan sebagai tanda bantahan terhadap perang ganas di Gaza dan serangan terhadap Iran.

Ia bukanlah kali pertama Netanyahu melakukan kunjungan sulit ke negara Teluk berkenaan ketika konflik serantau masih meningkat.

Pemimpin 'ekstremis' itu pernah mengadakan lawatan rahsia ke UAE ketika Operasi Roaring Lion pada awal tahun ini dan bertemu dengan Mohamed Zayed di bandar Al Ain pada 26 Mac lalu. Ketika itu, Abu Dhabi menafikan pertemuan tersebut.

UAE dan Israel secara rasmi menormalisasikan hubungan pada 2020 menerusi Perjanjian Abraham yang dimeterai ketika pentadbiran penggal pertama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. - Agensi