Peruntukan tambahan RM5 juta selenggara kuarters, bangunan PDRM

Iklan
Akmal Nasrullah (kanan) bersama Ab Rahaman (kiri) dan Bahrin (dua dari kiri) meninjau keadaan kuarters di Taman Perumahan Polis Jalan Padang Tembak, Kluang.

KLUANG – Peruntukan bagi kerja penyelenggaraan kuarters dan balai Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara ditambah RM5 juta, menjadikan keseluruhan peruntukan meningkat kepada RM127 juta.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, tambahan RM5 juta diluluskan Kementerian Ekonomi melalui Notice of Change (NOC), menjadikan keseluruhan peruntukan meningkat daripada RM122 juta kepada RM127 juta, setakat ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, peruntukan RM122 juta itu sebelum ini disediakan bagi Projek Pembaikan dan Penyelenggaraan Kuarters dan Balai Polis di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) 2026, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Daripada tambahan peruntukan itu, sebanyak RM3.7 juta diperuntukkan bagi keperluan PDRM di Kluang, termasuk penambahbaikan 10 blok kuarters serta kerja pembaikan balai di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

Iklan

“Pendekatan ini memastikan peruntukan pembangunan disasarkan kepada keperluan sebenar dan memberikan impak kepada penyampaian perkhidmatan awam,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Taman Perumahan Polis Jalan Padang Tembak, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Ab Rahaman Arsad dan Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh.

Iklan

Menurut Akmal Nasrullah, kerja penyelenggaraan berkenaan boleh dimulakan segera selepas persetujuan tambahan peruntukan itu diberikan dan disasarkan siap tahun ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan isu penyelenggaraan perlu diberi perhatian lebih serius memandangkan sebahagian infrastruktur awam dibina sejak beberapa dekad lalu dan kini memerlukan kerja baik pulih secara berkala.

"Peningkatan kos akibat inflasi serta pertambahan jumlah aset dan kemudahan turut menjadi cabaran yang perlu diambil kira dalam menentukan peruntukan penyelenggaraan

“Kos penyelenggaraan sekarang sudah berbeza berbanding ketika infrastruktur berkenaan dibina pada tahun 1970-an atau 1990-an, selain jumlah aset dan fasiliti yang perlu diselenggara juga semakin bertambah,” katanya.