KOTA KINABALU - Polis Sabah akan menasihati kerajaan negeri supaya konsert penyanyi antarabangsa Israel Houghton tidak diadakan buat masa ini, sekiranya permohonan rasmi bagi penganjuran acara itu dibuat kelak.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, nasihat berkenaan akan dibuat dengan mengambil kira reaksi serta sensitiviti masyarakat ketika ini berhubung penganjuran konsert terbabit.
Katanya, setakat ini pihaknya menerima dua laporan polis berhubung penganjuran konsert berkenaan dan akan terus menjalankan pemantauan serta mengambil keterangan daripada pihak tertentu.
"Bagaimanapun, sehingga kini, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri belum mendapat apa-apa maklumat atau permohonan daripada kerajaan negeri untuk memberikan ulasan berkaitan dengan konsert berkenaan.
"Malah, kerajaan negeri sendiri, saya dimaklumkan, pun belum menerima permohonan untuk mengadakan konsert berkenaan, tetapi ia telah disiarkan secara meluas dalam media sosial berkaitan dengan penganjuran ini termasuklah tarikh, tempat dan harga tiket," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah di sini pada Isnin.
Susulan reaksi masyarakat itu, Jauteh berkata pihaknya mengambil perhatian serius terhadap perkara berkenaan dan akan mengambil tindakan yang bersesuaian bagi memastikan kegusaran serta spekulasi dalam kalangan masyarakat tidak berlarutan.
"Sehingga kini ada dua laporan polis telah kita terima.
"Kita akan terus membuat pemantauan dan kita akan mengambil keterangan daripada pihak-pihak tertentu berkaitan dengan konsert ini dan menasihatkan mereka untuk mengambil perhatian yang serius terhadap sensitiviti dalam kalangan masyarakat pada masa kini," katanya.
Beliau berkata, sekiranya permohonan rasmi diterima, kerajaan negeri akan mendapatkan pandangan PDRM sebelum membuat keputusan berhubung penganjuran konsert berkenaan.
"Setelah sekiranya kita telah menerima secara rasmi daripada pihak penganjur, kerajaan negeri akan meminta pandangan daripada pihak PDRM dan memandangkan keadaan sensitiviti sekarang, kita akan menasihati supaya konsert ini tidak diadakan dahulu," katanya.
Menurutnya, setakat ini belum ada sebarang kertas siasatan dibuka berhubung perkara itu dan tindakan polis pada peringkat ini adalah memberikan nasihat berdasarkan reaksi masyarakat di media sosial serta keadaan semasa.
Beliau berkata, konsert berkenaan dikatakan dijadual berlangsung pada 22 dan 25 Oktober di beberapa lokasi di Kota Kinabalu dan merupakan sebahagian daripada konsert jelajah antarabangsa.
"Yang penting di sini adalah kita melihat kepada sensitiviti masyarakat dan ketenteraman masyarakat.
"Jadi kita akan berusaha untuk memastikan mana-mana sensitiviti yang boleh menimbulkan sesuatu yang menyebabkan ketenteraman itu tergugat, maka kita akan mengambil tindakan-tindakan bersesuaian bagi memastikan bahawa setiap lapisan masyarakat dalam isu ini akan mendapat keadilan dan rasa selamat," katanya.