Pemasaran gelap scammer: Apabila strategi pemasaran disalah guna umpan mangsa

Iklan
Pihak media memainkan peranan penting dalam menyebarkan kesedaran dan mendidik masyarakat mengenai taktik baharu penipu. Foto kecil: Dr Yaty

DALAM era digital yang semakin pesat, jenayah siber kini bertukar menjadi salah satu ancaman sosioekonomi yang ketara di negara ini.

Penipuan dalam talian bukan lagi sekadar kes terpencil, sebaliknya telah berkembang menjadi sindiket terancang yang merampas simpanan hayat ratusan ribu mangsa.

Iklan
Iklan

Daripada taktik pelaburan palsu yang menjanjikan pulangan yang tidak munasabah, penipuan e-dagang, Phishing, sehinggalah kepada Macau Scam dan Love Scam, kepelbagaian modus operandi scammer semakin licik.

Mereka tidak lagi hanya mengeksploitasi kelemahan teknikal sistem kewangan semata-mata, sebaliknya memanfaatkan kejuruteraan sosial untuk menakut-nakutkan atau memanipulasi emosi mangsa.

Iklan

Kesan daripada jenayah ini sangat dahsyat. Selain kerugian wang ringgit yang mencecah beratus-ratus juta, ramai mangsa mengalami tekanan emosi dan trauma psikologi yang berpanjangan.

Malah, ada dalam kalangan mereka yang kehilangan dana pencen dan wang simpanan persaraan yang dikumpul berpuluh tahun hanya dalam tempoh beberapa minit.

Iklan

Apabila bercakap mengenai scammer, ramai yang membayangkan serangan kod perisian atau penggodaman teknikal yang rumit.

Namun, hakikat di sebalik ancaman digital hari ini membuktikan sebaliknya: scammer kini bergerak seperti pemasar profesional.

Mereka memanfaatkan psikologi pengguna, strategi saluran jualan, dan teknik pemasaran digital untuk memikat serta memperdaya mangsa.

Dari sudut pemasaran, modus operandi sindiket penipuan dikesan menggunakan elemen-elemen teras berikut:

• Eksploitasi Psikologi FOMO dan Ketamakan (Fear of Missing Out): Sama seperti kempen jualan kilat, scammer menggunakan teknik urgensi dan elemen ketersediaan terhad. Iklan pelaburan palsu kerap menggunakan ayat seperti"Tawaran terhad 24 jam sahaja" atau"Pulangan 50% dalam 3 jam" bagi memaksa mangsa membuat keputusan emosi tanpa berfikir rasional.

• Pengiklanan Berpenyasaran Rasional (Targeted Ads): Sindiket memanipulasi algoritma media sosial seperti Meta, TikTok, dan Google untuk menyasarkan iklan palsu kepada demografi khusus. Sebagai contoh, iklan kerja sambilan mudah disasarkan kepada golongan belia atau penganggur, manakala penipuan pencen atau pelaburan disasar kepada warga emas yang mempunyai simpanan peribadi.

• Bina Kepercayaan Menerusi Bukti Sosial Palsu: Pemasar yang sah menggunakan ulasan pelanggan untuk membina kredibiliti. Scammer menyalahgunakan teknik ini dengan membuat testimoni palsu, menayang gaya hidup mewah tiruan, serta mencipta akaun bots di ruangan komen untuk memberi ilusi bahawa perkhidmatan mereka dipercayai ramai.

• Strategi Pintu Masuk Low-Barrier: Dalam penipuan tawaran pekerjaan atau e-dagang, mangsa pada mulanya diminta melakukan tugasan mudah seperti hanya menekan butang 'like' atau membeli barangan murah dan diberikan ganjaran kecil serta-merta. Teknik"pemasaran ganjaran" ini membina rasa percaya awal sebelum sindiket mengebas jumlah wang yang lebih besar.

• Pencurian Jenama (Brand Hijacking): Scammer turut meniru teknik penjenamaan agensi berautoriti seperti syarikat e-dagang popular, institusi kewangan, atau agensi kerajaan. Laman web klon yang menyamai paparan asal dicipta untuk mencuri data peribadi dan maklumat perbankan mangsa.

Penipuan dalam talian bukan lagi sekadar kes terpencil, sebaliknya telah berkembang menjadi sindiket terancang yang merampas simpanan hayat ratusan ribu mangsa. Foto hiasan

Pakar pemasaran menegaskan bahawa menyekat akaun keldai atau nombor telefon sahaja tidak lagi memadai. Platform digital mesti bertindak lebih ketat dalam menyaring iklan berbayar sebelum diluluskan.

Pada masa yang sama, pengguna perlu mengaplikasikan literasi media digital dengan memahami bahawa tidak semua taktik pemasaran di media sosial memberi tawaran yang sahih.

Pertempuran menentang scammer kini memerlukan masyarakat memahami cara 'pemasaran gelap' ini berfungsi, agar setiap tawaran yang terlalu indah untuk dipercayai dapat dinilai dengan akal fikiran yang waras.

Membanteras penipuan dalam talian bukanlah tugas satu pihak semata-mata, sebaliknya memerlukan sinergi mampan daripada pelbagai pihak yang terlibat.

Bagi menangani wabak digital ini, tindakan agresif dan bersepadu sedang dipergiatkan.

Kerajaan menerusi agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebagai contoh dengan mencadangkan hukuman sebat dikenakan ke atas scammer.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pula sentiasa mengetatkan pemantauan serta memperkemas perundangan, khususnya terhadap pemegang akaun keldai.

Penubuhan pusat respon pantas seperti National Scam Response Centre (NSRC) menerusi talian 997 turut menjadi antara langkah proaktif untuk menyekat pengaliran keluar wang mangsa dengan kadar segera.

Di samping itu, institusi perbankan juga telah melaksana pelbagai langkah keselamatan baharu, termasuk menggantikan sistem SMS TAC kepada pengesahan aplikasi (Secure Verification), menetapkan tempoh bertenang (cooling-off period), dan menyediakan fungsi Kill Switch bagi membolehkan pengguna membekukan akaun mereka dengan pantas sekiranya mengesan sebarang aktiviti yang mencurigakan.

Pihak media pula memainkan peranan penting dalam menyebarkan kesedaran dan mendidik masyarakat mengenai taktik baharu penipu.

Bagaimanapun, peranan terpenting masih berada di tangan orang ramai. Sikap peka, tidak mudah terpedaya dengan tawaran pulangan wang yang tidak munasabah, serta tidak sewenang-wenangnya menyerahkan maklumat perbankan peribadi adalah benteng pertahanan utama.

Dengan kata lain, benteng pertahanan paling ampuh tetap bermula daripada kewaspadaan orang ramai itu sendiri.

Kesimpulannya, jenayah penipuan dalam talian tidak boleh ditangani secara terasing. Ianya memerlukan kesepaduan antara undang-undang yang tegas, teknologi yang selamat, dan masyarakat yang peka.

Hanya dengan kerjasama erat antara agensi kerajaan, institusi kewangan, syarikat teknologi, dan kewaspadaan masyarakat itu sendiri, ekosistem digital negara yang lebih selamat dan terjamin dapat diwujudkan untuk generasi masa kini dan akan datang.

*Profesor Madya Dr Yaty Sulaiman ialah pensyarah di Jabatan Pemasaran, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia. Bidang kepakaran beliau meliputi tingkahlaku pengguna, pemasaran secara umum, strategi & analisis pemasaran dan pemasaran servis.