PUTRAJAYA - Industri pelancongan mesra Muslim di Malaysia terus berkembang dengan kemunculan platform tempatan ZAYA yang diperkenalkan kepada pasaran antarabangsa bersempena Global Halal Summit Malaysia 2026 (GHaS 2026) di sini baru-baru ini.
Pelancaran itu membuka ruang kepada ZAYA untuk menjalinkan kerjasama dengan pemain industri, penyedia hospitaliti dan pengurusan destinasi dalam usaha memperluas jaringan pelancongan mesra Muslim merentasi sempadan.
Platform berkenaan menghimpunkan enam komponen utama iaitu penginapan, perjalanan, makanan, kesejahteraan, budaya dan pengalaman bagi memenuhi keperluan pengembara Muslim ketika merancang perjalanan.
Melalui pendekatan itu, pengembara boleh mendapatkan maklumat dan perkhidmatan berkaitan perjalanan dalam satu ekosistem, manakala pengusaha pelancongan tempatan berpeluang memperkenalkan produk mereka kepada pasaran pelancongan Muslim antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif ZAYA, Datuk Ada Poon berkata, platform itu dibangunkan dengan aspirasi untuk menghubungkan manusia, budaya, perniagaan dan destinasi melalui teknologi serta kerjasama strategik.
“ZAYA berhasrat membawa dunia ke Malaysia dan menghubungkan Malaysia dengan dunia,” katanya.
Majlis berkenaan dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot serta Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre (ITC), Mohammad Faisal Abu Suaib Khan.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
Ada Poon menjelaskan bahawa pendekatan berkenaan membabitkan usaha menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih lancar kepada pengembara, bermula daripada proses mencari maklumat dan memilih perkhidmatan sehingga tiba di destinasi.
Bagi penyedia hospitaliti dan pengurusan destinasi, platform itu turut membuka ruang membina jaringan kerjasama dengan pemain industri dari negara lain, khususnya dalam memenuhi permintaan terhadap kemudahan dan pengalaman mesra Muslim.
Pelancaran itu turut memberi peluang kepada ZAYA diperkenalkan kepada khalayak antarabangsa yang terdiri daripada pemimpin kerajaan, pihak berkuasa Islam, badan pensijilan halal, pembuat dasar dan pemain industri.
Pemilihan GHaS 2026 sebagai lokasi pelancaran antarabangsa turut membuka peluang kepada ZAYA meneroka kerjasama dengan pelbagai pihak dalam ekosistem halal global, terutama dalam sektor pelancongan dan hospitaliti.
Sebagai platform yang dibangunkan di Malaysia, ZAYA menyasarkan pengembangan operasi melalui kerjasama dengan penyedia hospitaliti, rakan industri pelancongan serta pengurusan destinasi di peringkat antarabangsa.