SHAH ALAM – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli wajar membuat pengakuan dan permohonan maaf secara terbuka dan meletakkan jawatan susulan sesi tabayyun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung isu penyebaran unsur New Age Movement (NAM).
Pengerusi Lajnah Ilmuwan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Pas Selangor, Dr Abu Musleh berkata, pihaknya menghargai ketegasan JAKIM khususnya Panel Pakar Akidah (PPA) yang menjalankan siasatan dan sesi tabayyun berkaitan isu tersebut.
Menurutnya, kenyataan JAKIM pada Ahad menjelaskan bahawa satu sesi tabayyun telah diadakan bersama Marhamah selain teguran, nasihat serta panduan diberikan berkaitan kandungan dan pendekatan program yang mempunyai implikasi terhadap akidah.
“Ini menguatkan tanggapan bahawa kebimbangan masyarakat yang dibangkitkan sebelum ini mempunyai asas yang wajar diambil serius oleh pihak berautoriti,” katanya dalam kenyataan.
Abu Musleh berkata, sebelum ini Marhamah dilaporkan menafikan sebarang kaitan dengan NAM selain memberi tempoh 24 jam kepada pengkritik untuk menarik balik tuduhan dan membuat permohonan maaf terbuka serta mengancam tindakan undang-undang.
“Ini amat tidak profesional, tidak matang, dan memalukan kerana beliau menggunakan kepala surat pejabatnya untuk menjawab isu peribadi.
“Memandangkan JAKIM kini mengesahkan wujudnya isu implikasi akidah dalam program berkenaan, adalah wajar bagi Timbalan Menteri mengeluarkan kenyataan susulan yang mengakui perkara ini secara terbuka kepada masyarakat, selaras dengan dapatan JAKIM tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mendakwa masih ramai murid Marhamah yang tidak memahami dan mengetahui perkara yang dianggap salah dalam ajaran yang dibawa.
Abu Musleh berkata, isu berkaitan akidah perlu diteliti secara serius dan telus mengikut disiplin ilmu yang muktabar kerana ia menyentuh asas keimanan umat Islam.
Katanya, unsur NAM didakwa boleh menyusup melalui seminar motivasi, kursus pembangunan diri dan program kerohanian yang pada zahirnya kelihatan neutral.
“Lebih membimbangkan lagi apabila istilah Islam yang sahih sengaja dipinjam untuk menutup fahaman yang bercanggah dengannya.
“Inilah sebabnya pihak berautoriti wajar meneliti dengan teliti setiap istilah yang digunakan dalam mana-mana program kerohanian atau pembangunan insan oleh sebahagian penceramah motivasi yang menggunakan istilah-istilah yang dikaitkan dengan New Age Movement,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Mufti, JAKIM, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia serta pihak berautoriti agama negeri terus memantau dan mengkaji isu berkenaan secara telus dan konsisten.
“Rakyat kini menunggu pengakuan dan permohonan maaf Marhamah, dan semestinya disusuli dengan peletakan jawatan,” jelas beliau.