PERBINCANGAN mengenai gaji sering tertumpu kepada satu persoalan mudah: berapa banyak gaji perlu dinaikkan? Namun, persoalan yang lebih penting ialah sama ada kenaikan tersebut benar-benar meningkatkan taraf hidup pekerja. Data terkini daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan purata gaji dan upah bulanan warganegara meningkat 4.1 peratus kepada RM3,803 pada 2025 berbanding RM3,652 pada 2024. Gaji median pula meningkat kepada RM2,940.
Namun, RM1 hari ini tidak mempunyai kuasa beli yang sama seperti RM1 pada 10 atau 15 tahun lalu. Dengan menggunakan Indeks Harga Pengguna (IHP) sekitar 134.6 pada 2025, gaji purata RM3,803 tersebut bersamaan kira-kira RM2,825 dalam nilai ringgit pada 2010, iaitu tahun asas bagi pengiraan IHP.
Pengiraan ini bukan bermaksud gaji pekerja “sebenarnya” hanya RM2,825. Sebaliknya, ia menggambarkan hakisan kuasa beli akibat kenaikan paras harga sejak 2010. Perbezaan antara kedua-dua angka tersebut, iaitu RM978, boleh dianggap sebagai gambaran “kehilangan” kuasa beli. Justeru, matlamat kita seharusnya bukan sekadar mengejar gaji nominal yang lebih tinggi, tetapi memastikan gaji benar meningkat secara berterusan. Inflasi keseluruhan pada 2025 adalah 1.4 peratus.
Di sinilah konsep gaji bermaruah menjadi penting. Pekerja bukan sekadar mahu angka yang lebih besar pada slip gaji. Mereka mahukan pendapatan yang membolehkan kehidupan bertambah baik, termasuk memiliki rumah yang selesa, menyediakan pendidikan berkualiti untuk anak-anak, mendapatkan penjagaan kesihatan serta mempunyai simpanan yang mencukupi untuk hari tua.
Pada masa yang sama, mungkin sudah tiba masanya kita melihat semula struktur pampasan pekerja. Kebanyakan organisasi masih bergantung pada struktur yang agak konvensional: gaji asas, elaun, bayaran lebih masa, kenaikan tahunan, bonus, kenaikan pangkat dan manfaat perubatan. Semua ini penting. Tetapi bagaimana jika pekerja dapat menikmati secara lebih langsung kemakmuran yang mereka sendiri bantu cipta?
Huawei menawarkan satu contoh menarik. Syarikat tersebut melaksanakan Employee Shareholding Scheme yang menghubungkan kepentingan pekerja dengan prestasi dan pembangunan jangka panjang syarikat. Sehingga akhir 2025, skim tersebut melibatkan lebih 169,000 pekerja dan bekas pekerja yang layak.
Model Huawei tentunya tidak boleh disalin bulat-bulat. Namun, falsafah di sebaliknya menarik: apabila syarikat berkembang, pekerja turut mempunyai peluang untuk menikmati hasil pertumbuhan tersebut. Hal ini membawa kita kepada persoalan produktiviti.
Produktiviti buruh Malaysia bagi setiap jam bekerja meningkat 3.7 peratus pada 2025, manakala purata gaji warganegara meningkat 4.1 peratus. Pada suku kedua 2026 pula, produktiviti bagi setiap jam bekerja berkembang lebih pantas, iaitu 5.5 peratus. Persoalan yang perlu sentiasa ditanya ialah: apabila produktiviti meningkat dalam jangka panjang, sejauh manakah peningkatan nilai yang dicipta itu kembali kepada pekerja?
Malah, bahagian pampasan pekerja hanyalah 33.9 peratus daripada KDNK Malaysia pada 2025. Namun, kita juga perlu berlaku adil kepada majikan. Gaji tidak boleh meningkat secara mampan sekiranya produktiviti, keuntungan dan keupayaan syarikat tidak meningkat. Perniagaan yang berdepan kos tinggi, margin keuntungan yang nipis dan persaingan sengit mempunyai ruang yang terhad untuk menawarkan pampasan lumayan.
Sebab itulah isu gaji bukan tanggungjawab majikan semata-mata. Kerajaan perlu membina ekosistem yang membolehkan syarikat beralih kepada aktiviti bernilai tambah tinggi. Majikan pula perlu melihat pekerja bukan sekadar sebagai kos, tetapi sebagai rakan pencipta nilai. Pekerja juga perlu meningkatkan kemahiran dan produktiviti.
Akhirnya, ekonomi yang berjaya bukan hanya ekonomi yang mencatatkan KDNK tinggi atau keuntungan korporat yang besar. Ekonomi yang benar-benar berjaya ialah ekonomi yang memastikan kemakmuran yang dicipta dapat dirasai oleh mereka yang turut menciptanya.
* Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ialah Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad.