MERAK Jalanan bukanlah kaki drama yang sanggup duduk berjam-jam menghadap skrin semata-mata mahu mengetahui kesudahan sesuatu cerita.
Namun sejak beberapa bulan lalu, terdapat satu drama membuatkan Merak Jalanan ternanti-nanti sambungan episodnya. Bukan kerana kisahnya, tetapi lokasi penggambaran memaparkan keindahan destinasi di negara kita.
Menerusi drama itu, penonton diperkenalkan dengan pantai, kampung, gerai makan dan suasana kehidupan masyarakat yang mungkin sebelum ini kurang diketahui ramai. Tidak hairanlah apabila sesuatu drama mendapat sambutan, lokasi penggambarannya turut menjadi perhatian.
Merak Jalanan berkesempatan mengunjungi satu lokasi dipaparkan dalam drama berkenaan. Memang cantik pemandangannya, malah gerai makanan di sekitar kawasan itu turut meriah dengan pengunjung.
Namun selepas menikmati makanan dan minuman, Merak Jalanan yang mahu meneruskan perjalanan jauh terpaksa mencari tandas awam berdekatan.
Kalau dalam drama semuanya nampak indah, namun Merak Jalanan kecewa apabila tandas awam yang dimasuki berbau busuk, kotor dan menyakitkan mata. Merak terfikir, bagaimana pula perasaan pengunjung selepas melihat lokasi ini dipromosikan menerusi drama?
Drama sudah membantu menarik orang ramai berkunjung, justeru apabila sesuatu lokasi mula menjadi tumpuan, pihak berwajib seharusnya memastikan kemudahan awam di kawasan berkenaan berada dalam keadaan bersedia menerima kehadiran pengunjung.
Bukan sekadar cantik di kaca televisyen, tetapi apabila pengunjung datang sendiri, biarlah kemudahan yang disediakan turut membuatkan mereka rasa selesa.