DI tengah kesunyian malam, tiba-tiba kedengaran bunyi seperti guli yang jatuh lalu bergolek di atas siling rumah. Sekali dua mungkin boleh buat tidak tahu, tetapi apabila semakin kerap, mulalah membayangkan pelbagai perkara termasuk kehadiran entiti mistik.
Pastinya ramai pernah mengalami situasi ini, terutamanya yang tinggal di rumah bertingkat atau kediaman lama.
Rakan Merak Jalanan beritahu, sejak akhir-akhir ini, bunyi guli bergolek di atas siling rumahnya kian rancak terutamanya selepas tengah malam. Kalau siang mungkin boleh buat tidak tahu, tetapi apabila malam semakin larut, lain pula ceritanya. Belum sempat mencari punca bunyi, mulut lebih laju terkumat-kamit membaca doa.
Rakan Merak Jalanan pun tidak duduk diam dan cuba mencari punca bunyi misteri itu dengan bantuan ChatGPT.mana tahu, ada penjelasan saintifik di sebalik bunyi yang semakin ligat itu.
Menurut ChatGPT seperti guli itu juga boleh berpunca daripada perubahan suhu yang menyebabkan bahan binaan seperti kayu dan logam mengembang atau mengecut.
Rakan Merak Jalanan masih tak puas hati. Rupa-rupanya bila diperiksa, bukan entiti mistik, sebaliknya seekor musang pandan yang menjadikan ruang bumbung sebagai tempat persinggahan.
Jadi, kalau terdengar bunyi guli bergolek di atas siling malam ini, Merak Jalanan nasihatkan supaya periksa dahulu keadaan bumbung. Mana tahu, selama ini bukan ‘tetamu tidak diundang’ yang bermain guli, sebaliknya hanya struktur rumah yang menghasilkan bunyi akibat tindak balas suhu persekitaran.
Kalau bunyi masih tidak berhenti, mungkin tiba masanya mendapatkan bantuan orang lebih arif tentang struktur rumah bukannya terus mencari ustaz untuk menghalau 'penghuni' yang disangka bermain guli tengah malam.