Buli bukan untuk dicontohi

Iklan
Anak-anak kita tidak memerlukan lebih banyak contoh untuk membuli, sebaliknya mereka memerlukan lebih banyak contoh mengapa perbuatan itu salah. Foto janaan AI

GESAAN Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya drama dan filem yang secara tidak langsung mempromosikan budaya buli atas alasan memberikan pengajaran kepada penonton dihentikan wajar diberi perhatian serius.

Alasan mahu menyampaikan mesej kesedaran tidak seharusnya menjadi lesen untuk memaparkan budaya buli secara berlebihan sehingga perlakuan ganas, dominasi dan budaya ‘taiko’ dilihat menarik, berani atau wajar ditiru.

Iklan
Iklan

Dalam usia remaja yang sedang membentuk identiti, pengaruh visual dan watak yang ditonton bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan, termasuk kebimbangan terhadap perlakuan ‘copycat’.

Apa yang pada awalnya digambarkan babak lakonan akhirnya mungkin ditafsirkan secara berbeza oleh penonton muda yang belum matang dalam menilai akibat sesuatu perbuatan.

Iklan

Jangan sampai adegan yang dirangka untuk memberi pengajaran kepada masyarakat akhirnya menjadi rujukan kepada mereka yang mahu mencubanya.

Namun, persoalannya bukan sekadar sama ada kandungan berkaitan buli perlu dihentikan atau sebaliknya. Industri kreatif juga bertanggungjawab memastikan mesej yang disampaikan benar-benar jelas, tidak mengglamorkan pelaku serta tidak menjadikan mangsa sekadar watak sampingan dalam naratif.

Iklan

Lebih penting, tragedi yang membabitkan pelajar berusia 14 tahun, Muhammad Idlan Fareeq Shahril baru-baru ini tidak seharusnya berlalu sebagai satu lagi berita yang dilupakan selepas beberapa hari.

Sekolah dan asrama mesti kekal sebagai ruang selamat untuk anak-anak, manakala setiap dasar perlindungan murid dan pencegahan buli perlu dilaksanakan serta dipantau secara berterusan.

Budaya buli tidak akan hilang hanya melalui poster, kempen atau slogan, sebaliknya menuntut kesungguhan semua pihak termasuk sekolah, keluarga, industri kandungan dan masyarakat.

Jika kandungan yang kononnya mahu memberi pengajaran akhirnya menjadikan buli kelihatan ‘cool’, berkuasa dan boleh dicontohi, kita perlu bertanya semula: pengajaran untuk siapa dan kesannya kepada siapa?

Anak-anak kita tidak memerlukan lebih banyak contoh untuk membuli, sebaliknya mereka memerlukan lebih banyak contoh mengapa perbuatan itu salah.