Harimau serang ternakan, penduduk Selarong diminta waspada

Iklan
Penduduk Kampung Selarong, Pengkalan Hulu diminta berwaspada susulan serangan harimau belang terhadap ternakan di kawasan kebun dan ladang sawit kampung itu pada 20 September lepas. - Gambar hiasan

IPOH - Penduduk Kampung Selarong, Pengkalan Hulu diminta berwaspada susulan serangan harimau belang terhadap ternakan di kawasan kebun dan ladang sawit kampung itu pada 20 September lepas.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Superintenden Zulkepli Ibrahim berkata, dalam kejadian itu, seekor lembu ditemukan mati di kawasan kebun di Rancangan Pengkalan Hulu dengan kesan gigitan pada bahagian leher.

Iklan
Iklan

"Polis menerima laporan daripada pemilik lembu pada 23 September dan turut memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

"Bagaimanapun, Perhilitan yang menerima laporan lebih awal telah ke lokasi pada 21 September bagi menjalankan pemeriksaan dan mendapati kesan gigitan pada leher lembu dipercayai akibat serangan harimau belang,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Iklan

Zulkepli berkata, serangan itu kali ketiga dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan selepas dua kejadian masing-masing pada 23 Mei dan 11 Jun 2025.

Susulan kejadian pada Mei 2025, beliau berkata Perhilitan telah memasang perangkap di kawasan berkenaan, namun hingga kini tiada tangkapan dilakukan.

Iklan

Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang ramai, khususnya pemilik dan penternak supaya berwaspada terhadap ternakan masing-masing serta segera melaporkan sebarang penampakan hidupan liar mencurigakan kepada pihak berkuasa atau Perhilitan. - Bernama