KOTA KINABALU - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah diminta mengambil perhatian terhadap dakwaan seorang murid Tahun Empat ditampar guru ketika menunaikan solat di sebuah sekolah di Membakut, Selasa lalu.
Setiausaha Agung Consumers Front of Sabah (CFOS), Hashima Hasbullah Yahya berkata, pihaknya turut menyatakan kebimbangan susulan dakwaan terdapat pihak berkaitan yang menyokong tindakan guru berkenaan.
"Dalam pandangan kami, selain siasatan polis, dari perspektif kepenggunaan, kami bimbang apabila terdapat pihak yang menyokong tindakan ustaz berkenaan.
"Walaupun terang lagi bersuluh tindakan ustaz itu adalah satu jenayah yang termaktub dalam Kanun Keseksaan.
"Mereka sepatutnya menyesali apa yang berlaku atau membuat permohonan maaf, namun sebaliknya pula yang berlaku," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Hashima sebelum ini mendedahkan insiden murid didakwa ditampar oleh guru di sekolah tersebut sebelum Sinar Harian mendapatkan pengesahan daripada pihak polis mengenai kejadian itu.
Mengulas lanjut, Hashima berkata, perkara itu membimbangkan kerana ia membabitkan seorang kanak-kanak yang tidak berdaya melawan atau melindungi diri sendiri.
"Keadaan ini membimbangkan dan tidak sihat. Pentadbir sekolah dan guru tidak boleh membenarkan jenayah," katanya.
Sehubungan itu, Hashima berkata, pihaknya mencadangkan KPM dan JPNS mengambil tindakan tegas serta memberi peringatan kepada pihak berkaitan supaya mengambil perhatian terhadap perkara berkenaan.
"Kami mencadangkan KPM, JPNS mengambil tindakan tegas mengenai perkara ini dan jangan menjadi pihak yang membolehkan berlakunya jenayah," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Pendidikan Sabah, Abidin Marjan berkata, pihaknya sedang menguruskan kes berkenaan.
"Saya sedang uruskan kes ini dengan sebaiknya," katanya.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan seorang murid lelaki berusia 10 tahun mendakwa ditampar seorang guru di bahagian kepala ketika dia bersama rakannya sedang menunaikan solat di surau sekolah berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh, mangsa mendakwa ditampar sebanyak dua kali di bahagian kiri kepala oleh seorang ustaz selepas keadaan di saf menjadi bising apabila rakannya menolak badan mangsa.
Mangsa kemudian dilaporkan mengalami pendarahan hidung ketika berada di rumah pada kira-kira jam 12.20 tengah malam Jumaat sebelum dibawa ibunya mendapatkan rawatan di sebuah klinik kesihatan di Membakut.
Ibunya kemudian membuat laporan polis kerana mengesyaki pendarahan berkenaan mempunyai kaitan dengan kejadian tamparan yang didakwa berlaku sebelum itu.