KUANTAN – Seorang penunggang maut digilis kenderaan lain selepas dipercayai terjatuh dari motosikal akibat terlanggar lembu melintas jalan di Jalan Kuantan-Kemaman, berhampiran Masjid Kampung Chendor, Cerating, di sini, pada Ahad.
Dalam kemalangan kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa berusia 23 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Cerating di sini menghala ke Kampung Geliga, Kemaman,Terengganu.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi, seekor lembu dipercayai melintas jalan dari arah kiri ke kanan secara tiba-tiba.
"Mangsa yang kebetulan sedang melalui laluan berkenaan tidak sempat mengelak lalu terlanggar haiwan berkenaan sehingga tercampak jatuh ke atas jalan.
“Mangsa kemudiannya disyaki digilis kenderaan lain yang masih belum dikenal pasti,” katanya.
Ashari berkata, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Pihak polis memohon kerjasama orang ramai atau mana-mana saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil membantu siasatan," katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) semasa kejadian juga diminta menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes di talian 011-30451140 atau mana-mana balai polis berhampiran.