PASIR PUTEH - Sebanyak 12 warga asing dipercayai membayar antara RM1,500 hingga RM3,500 seorang kepada ejen bagi memasuki Malaysia di laluan tidak diwartakan di Sungai Tumpat pada Ahad lepas.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, kesemua mereka dipercayai dalam perjalanan ke Lembah Klang untuk bekerja sebagai buruh dan tukang cuci.
Beliau berkata, kumpulan itu terdiri daripada lapan lelaki warga Bangladesh, dua lelaki dan seorang wanita warga Myanmar serta seorang lelaki warga Indonesia, berusia antara 21 hingga 41 tahun.
"Kesemua mereka disyaki memasuki atau berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah,” katanya pada sidang media berkaitan kes tangkapan warga asing di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan di sini pada Khamis.
Kamal berkata, tangkapan itu adalah hasil operasi bersepadu menerusi Op Naga, Op Damai, Op Pelantar Merah dan Op Tiris yang melibatkan aset bot Maritim serta Tim Operasi Darat.
Beliau berkata Tim Operasi Darat 1 mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan di perairan Kuala Tumpat sebelum bot itu bergerak menyusuri Sungai Tumpat jam 6.15 petang.
Katanya, bot berkenaan dipercayai cuba menghampiri tebing sungai untuk menurunkan warga asing di kawasan Kampung Kelong kira-kira jam 6.30 petang.
"Bagaimanapun, bot laju itu tidak berjaya dikesan dan dipercayai melarikan diri melalui laluan tidak diwartakan serta kawasan sungai cetek.
"Tindakan pencarian susulan membawa kepada penahanan dua kenderaan jenis Proton Satria dan Volkswagen bersama 12 individu manakala dua pemandu yang disyaki warga tempatan berjaya melarikan diri,” katanya.
Beliau berkata, kesemua tahanan bersama kenderaan yang disita dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63. - Bernama