408 pelatih AKPS ditempatkan di ICQ Bukit Chagar tahun hadapan

Iklan
Shamsul Azri (barisan depan, tengah) pada Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai AKPS di PULAPOL Segamat pada Ahad.

SEGAMAT – Seramai 408 pelatih Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan ditempatkan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar sebagai persiapan operasi Rapid Transit System Link (RTS Link) Johor Bahru-Singapura awal tahun depan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, kumpulan fasa pertama itu bakal menjadi barisan hadapan yang berurusan dengan rakyat Malaysia, pelancong, pekerja dan pelabur dari seluruh dunia apabila RTS Link mula beroperasi.

Iklan
Iklan

Katanya, pegawai dan anggota terbabit perlu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah serta dedikasi.

“Perubahan ini terutama membabitkan tadbir urus, keberkesanan penyampaian serta paling penting keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Siri 1/2026 di sini pada Ahad. 

Iklan

Hadir sama Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid dan Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad.

Shamsul Azri (kanan) menyampaikan Anugerah Terbaik Keseluruhan Kursus Asas Pegawai AKPS.

Iklan

Menurut Shamsul Azri, AKPS kini beroperasi dengan kekuatan kira-kira 30 peratus daripada keperluan sebenar iaitu 13,721 anggota bagi memastikan agensi itu beroperasi secara optimum.

“AKPS sebagai barisan hadapan bukan sekadar memastikan kedaulatan negara terus dihormati, malah menjadi benteng kepada fiskal negara.

“Setiap ringgit yang diselamatkan adalah hak rakyat yang wajib dipertahankan, setiap ketirisan perlu dibendung dan setiap sindiket yang dipatahkan adalah ancaman terhadap keselamatan serta ekonomi negara,” katanya.

Shamsul Azri turut memuji tahap inklusif AKPS apabila majoriti pegawai dan anggota baharu terdiri daripada rakyat Sabah dan Sarawak.

“Anak-anak ini datang dari Sabah paling ramai, diikuti Sarawak dan Semenanjung. Inilah wajah Malaysia yang sebenar.

“Pada masa sama, saya nasihatkan pegawai ini supaya menguasai teknologi, amanah, menjaga maruah perkhidmatan dan sentiasa menunjukkan sikap ihsan ketika menjalankan tugas,” katanya.