ALOR SETAR - Buli tidak sepatutnya dilihat sebagai gurauan membabitkan pelajar semata-mata atau dianggap sekadar proses pembesaran, sebaliknya ia berisiko ke arah keganasan sehingga boleh membawa maut.
Timbalan Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS) Kebangsaan merangkap Pengerusi PIBKS Kedah, Zainol Abidin Mohamad berkata, buli wujud sejak dahulu, namun hari ini ia semakin kompleks bukan sahaja membabitkan fizikal, malah secara lisan, psikologi, berkumpulan dan buli siber melalui media sosial.
"Mengapa kes buli dan keganasan dalam kalangan pelajar seolah-olah semakin kerap kita dengar hari ini?
"Jangan tunggu seorang anak cedera parah. Jangan tunggu seorang ibu kehilangan anak. Jangan tunggu satu lagi nyawa melayang," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas kematian pelajar Tingkatan Dua, Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kes buli.
Mangsa ditemui tidak sedarkan diri di kawasan asrama sebelum disahkan meninggal dunia.
Menurut Zainol, siasatan kes terbabit oleh pihak berkuasa diharapkan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.
Bagaimanapun, beliau turut meminta masyarakat agar tidak menyebarkan spekulasi sehingga siasatan itu selesai.
Menurutnya, sekolah dan asrama sepatutnya menjadi tempat paling selamat, bukan ditakuti anak-anak.
"Semoga tragedi ini menjadi titik perubahan kepada usaha kita memerangi budaya buli. Tindakan menyeluruh perlu diperkasa termasuk kerjasama dari pihak sekolah dan asrama untuk memastikan sistem aduan benar-benar selamat dan sulit.
"Selain itu, setiap aduan mesti disiasat segera, kaunseling dan intervensi awal perlu dipertingkatkan, pelajar perlu dididik supaya berani melaporkan kejadian tanpa takut dianggap sebagai pengadu atau berdepan tindakan balas.
"Lebih penting, jangan lindungi pembuli oleh sebab mahu menjaga nama baik mana-mana institusi," katanya.
Menurutnya, nama baik sesebuah sekolah bukan terletak pada jumlah kes yang dilaporkan, tetapi sejauh mana keselamatan dan kebajikan setiap anak dijaga.
Dalam masa sama, jelasnya, ibu bapa mesti peka terhadap perubahan tingkah laku anak di samping pengawasan di kawasan berisiko dipertingkatkan.
"Sebagai seorang yang telah lama berada dalam dunia pendidikan, saya percaya pendidikan bukan sekadar mengejar A dalam peperiksaan. Kita mesti melahirkan manusia yang mempunyai ilmu, akhlak, empati, rasa hormat terhadap nyawa dan maruah orang lain.
"Guru tidak mampu melakukannya sendirian, ibu bapa juga tidak mampu bersendirian, sekolah, keluarga, masyarakat, Kementerian Pendidikan dan pihak berkuasa mesti bergerak bersama membanteras perbuatan buli yang semakin membimbangkan," katanya.