Pengampunan bersyarat Najib: Anwar tegas pertahan prinsip banteras rasuah

Iklan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan semasa hadir ke Majlis Makan Malam Apresiasi 3 Generasi (WADAH, ABIM, PKPIM) di Pusat Konvensyen Bangi Avenue malam ini. Foto Bernama

BANGI - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan akur dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung kes membabitkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Anwar berkata, namun perkara itu tidak menghalang beliau daripada memberikan pandangan dan nasihat berdasarkan hukum, undang-undang dan kepentingan negara.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pendirian kerajaan jelas bahawa negara tidak boleh bertolak ansur terhadap amalan rasuah atau perbuatan mengambil kekayaan negara untuk kepentingan peribadi.

"Apa nak kita sampaikan? Negara ini tidak boleh tolak ansur dengan rasuah dan amalan ‘sakau’ wang negara," kata beliau ketika berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi 3 Generasi: Menyambung Legasi Perjuangan di sini hari ini.

Iklan

Anwar turut merujuk beberapa isu melibatkan beberapa institusi yang pernah menjadi perhatian awam, termasuk Lembaga Tabung Haji, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sambil menegaskan bahawa individu yang didakwa mengambil kekayaan negara perlu bertanggungjawab sepenuhnya.

"Tabung Haji, FELDA, 1MDB, orang yang ‘menyakau’ kekayaan, harus menjawab. Jadi apa juga keputusan, tidak harus beralih untuk menyelamatkan negara kita," kata beliau.

Iklan

Najib, 73, sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Pada 18 September, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan syarat yang ditetapkan.

Terdahulu, majlis berkenaan turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Majlis itu menghimpunkan lebih 2,000 ahli Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).- Bernama